TONGGAK pertahanan Kuala Lumpur United FC (KLUFC), Muhammad Irfan Zakaria tidak mahu terlalu awal memikirkan peluangnya untuk menggalas tanggungjawab memakai lilitan kapten apatah lagi bergelar seorang legenda bersama pasukan kesayangannya itu.
Irfan, 25, pernah memegang peranan sebagai kapten dalam satu perlawanan bersama KLUFC pada aksi Liga Super 2019 sebelum memilih untuk mencari angin baharu dengan menyertai Kedah bagi saingan musim lalu.
Bagaimanapun, penghijrahan tersebut cuma bertahan setahun sahaja apabila bek tengah Harimau Malaya itu kembali menyarung jersi keramat The City Boys bagi menghadapi kancah Liga Super 2021 yang dijadualkan membuka tirainya pada 28 Februari depan.
“Bergelar kapten belum lagi impian saya kerana buat masa ini saya cuma tumpu kepada disiplin dan persembahan di atas padang. Namun, andai kata diberi peluang menjadi kapten, ia satu bonus buat diri saya.
“Saya tidak sedar bahawa saya menghampiri 100 perlawanan bersama Kuala Lumpur (KLUFC). Saya mahu terus berbakti dengan Kuala Lumpur kalau ada rezeki dan akan bermain lebih lama lagi bersama pasukan ini,” katanya.
Irfan cuma memerlukan sembilan perlawanan untuk mencapai 100 aksi bersama The City Boys selepas membuat 91 penampilan sejak tahun 2016 hingga 2019 sebelum berhijrah ke Kedah musim lalu.
“Saya melalui satu perjalanan sukar kerana Kedah mempunyai reputasi tinggi sebagai pasukan gergasi. Kini saya kembali bersama KL selepas setahun meninggalkan pasukan ini,” jelas Irfan yang bermain 12 perlawanan bersama Kedah musim lalu.
Sebagai rekod, kapten KLUFC, Paulo Josue juga berpeluang mengikut jejak Irfan membuat 100 penampilan, sekali gus menyertai senarai ‘Kelab 100’ apabila bermain 86 perlawanan bersama The City Boys sejak 2017.