ISKANDAR PUTERI – Tiga individu termasuk seorang wanita diberkas disyaki terlibatkan dalam kegiatan jenayah pecah rumah dan curi kenderaan dalam dua serbuan di sekitar daerah ini semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam operasi bermula pada pukul 8.45 malam itu, kesemua suspek yang ditahan berusia 30 hingga 53 tahun.
Menurutnya, mereka diberkas di kawasan tempat letak kereta di Residensi D’Pristine, Lebuh Medini Utara, Bandar Medini di sini dan Jalan Panglin 6, Taman Perling, di sini.
“Serbuan dibuat susulan laporan seorang pengadu yang memaklumkan rumah rakannya di Taman Bukit Indah 2, di sini dipecah masuk apabila mendapati pintu pagar rumah terbuka dan kereta milik mangsa hilang pada Sabtu lalu.
“Lelaki itu berusia 43 tahun itu memaklumkan dia menerima panggilan telefon daripada mangsa yang berada di Singapura pada pukul 9.30 pagi memberitahu rumahnya dipecah masuk,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.
Katanya, kesemua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan 379A Kanun Keseksaan (curi kenderaan).-K! ONLINE