fbpx

Dipersenda netizen, Norlia kata ‘tak jadi kudis pun’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORLIA GHANI

PETALING JAYA – Pelakon veteran, Norlia Ghani terperanjat bahkan tidak menyangka namanya mampu meledak menjadi sohor kini dalam Twitter semalam.

Semuanya bermula apabila sebuah akaun memuat naik ciapan memuji kejelitaan aktres Kavitha Sindhu yang masih cantik pada usia 49 tahun.

Akaun berkenaan kemudian membandingkan secara umum bahawa orang lain yang masih muda dan berusia 30 tahun bagaimanapun kelihatan sudah berusia seperti pelakon veteran itu.

Perbandingan tersebut menimbulkan perdebatan hebat dalam kalangan pengguna Twitter yang lain sehingga menyebabkan nama Norlia yang popular menerusi watak Joyah dalam drama bersiri Opah turut terkena tempias.

Ada yang berpendapat bahawa perbandingan antara kedua-dua figura itu seakan tidak kena.

Tidak kurang juga ada yang mempertahankan posisi dan aura ibu kepada aktor Rusdi Ramli itu yang perlu dihormati sebagai orang lebih berusia.

Bagaimanapun, Norlia, 72, yang mula berlakon sejak 1968 tidak melatah dan enggan mengambil serius perkara berkenaan.

“Cucu saya ada tunjuk paparan skrin berkenaan isu nama saya tular. Tidak sangka juga sebab selama ini hanya artis muda dan popular sahaja selalu tular.

“Sekarang saya pula jadi perhatian. Saya tidak terlalu ambil serius pun. Pendek kata, tak ambil kisah pun. Banyak lagi benda lain yang perlu kita fikirkan pada musim pandemik ini.

“Bukan jadi kudis pun. Malah saya dapat tahu ada yang mempertahankan diri saya sebagai artis senior,” katanya.

Pemenang anugerah Pelakon Komedi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2002 itu juga memaklumkan beliau mempunyai akaun Twitter, namun sudah lama tidak aktif.

“Saya cuma kerap guna Instagram dan Facebook sahaja.

“Dapat juga kongsi perkembangan seni dan mengeratkan hubungan dengan kenalan lama serta mereka yang menghargai bakat saya,” katanya yang baru selesai menjalani penggambaran drama 13 episod, Bujang Haji untuk siaran TV AlHijrah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Drama yang turut menampilkan pelakon senior lain seperti Rosnah Mat Aris, Kartina Aziz dan Jalil Hamid itu diarahkan Isqandar Jebat. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI