fbpx

Tanda hormat, apresiasi Dayang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DAYANG NURFAIZAH

MENYIMPAN hasrat untuk melahirkan album yang menghimpunkan lagu-lagu klasik nyanyian asal penyanyi-penyanyi legenda sejak 15 tahun lalu, akhirnya impian penyanyi kelahiran Bumi Kenyalang, Dayang terlaksana dengan peluncuran album Belagu Februari ini.

Memuatkan lapan buah lagu yang sarat keindahan melodi dan nukilan lirik nan halus tiada tandingan, antara yang dimuatkan dalam album tersebut seperti Tudung Periuk, Jikalau Abang Merindu, Tak Seindah Wajah, Malam Ku Bermimpi dan Gurindam Jiwa (duet bersama Hael Husaini).

Lebih manis buat Dayang atau nama lengkapnya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, album tersebut dirakam secara live (langsung).

Sungguh, impian Dayang untuk merakamkan album live yang memuatkan lagu-lagu klasik kegemarannya sudah tersimpan sejak 15 tahun lalu.

DAYANG menggayakan keringkam sebagai penampilannya untuk single berjudul Tudung Periuk. Keringkam ini menerupakan sejenis perhiasan klasik milik Dayang yang tersimpan sejak lebih 10 tahun lalu.

Angan-angan

“Tak salah berangan. Jujur saya katakan, sejak album Kasih terbit pada 2005, saya sudah pasang angan-angan ingin ada album yang memuatkan lagu-lagu klasik indah bukan sahaja dari segi melodi, bahkan dari segi kehalusan bahasa.

“Alhamdulillah, akhirnya impian itu tercapai dan lebih manis lagi, album ini dirakam secara live. Lama sebenarnya saya simpan impian ini,” kata Dayang, 39, kepada HibGlam pada majlis pradengar album berkenaan di Universal Music Malaysia, baru-baru ini.

Menggunakan khidmat magis Aubrey Suwito yang bertindak sebagai pengarah muzik dan penerbit, Dayang berkata, bukan mudah untuk merealisasikan album berkenaan kerana memerlukan kerjasama daripada banyak pihak terutama sewaktu pandemik Covid-19 masih membelenggu.

“Kesemua lagu yang dimuatkan dalam album ini mempunyai cabaran tersendiri untuk dirakamkan. Apatah lagi, dirakamkan secara live dan proses itu sangat rumit, namun saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar dan dapat menemui peminat.

“Menyanyikan lagu lama atau klasik, apa yang penting adalah dari segi penghayatan. Untuk itu, saya ‘berguru’ dengan Bob Yusof yang sangat mahir menyanyikan lagu-lagu seperti ini.

“Album ini mengambil masa dua hari untuk dirakamkan. Hari pertama rakam tiga lagu dan hari berikutnya, lima lagu.

“Saya jenis penyanyi yang tidak suka menghabiskan masa terlalu lama dalam proses rakaman. Kalau terlalu lama, ‘mood’ akan senang hilang,” kata Dayang yang merupakan pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) tiga tahun berturut-turut itu.

DAYANG menyifatkan kelahiran Belagu sebagai satu bentuk sanjungannya terhadap keindahan melodi dan lirik dalam lagu-lagu Melayu klasik.

Tak cari kesempurnaan

Wanita berkulit hitam manis itu turut menyifatkan pengalaman merakamkan album Belagu merupakan satu proses pembelajaran mematangkan perjalanan seninya yang sudah berusia lebih dua dasawarsa.

“Saya belajar betapa indahnya bahasa orang dahulu. Kesantunan, budi bicara mereka sangat tinggi dan sangat puitis.

“Macam lagu Tak Seindah Wajah, ada mesej berguna dan relevan untuk dipraktikkan sampai sekarang. Lagu Tudung Periuk pun misalnya, kalau orang sekarang tak tahu mereka akan persoalkan mengapa perlu ada lagu tentang tudung periuk.

“Sedangkan ikut pemahaman saya, lagu klasik mempunyai ketinggian dan kedalaman makna tentang darjat seseorang.

“Jika kita tak ambil tahu tentang karya-karya lama, memang kita tak tahu tentang makna di sebalik lagu,” kata Dayang yang tidak pernah lokek dengan senyuman.

Tambahnya, persiapan vokal untuk mengalunkan lagu-lagu di dalam album berkenaan juga satu pengalaman menarik.

“Saya bukanlah penyanyi lagu Melayu asli, jadi ambil masa untuk memahirkan dan memesrakan vokal dengan lenggok lagu-lagu Melayu asli.

“Walaupun cara saya tidak seperti nyanyian asal tetapi seboleh-bolehnya, saya tidak mahu hilangkan keaslian lagu-lagu ini.

“Saya belajar, menyanyi lagu lama atau klasik, bukan kesempurnaan yang dicari, cuma inginkan mood dan penghayatan itu sampai. Itu paling utama,” ujarnya.

DAYANG menggunakan khidmat Aubrey Suwito yang bertindak sebagai pengarah muzik dan penerbit bagi menyuntik magis dalam album Belagu.

Pilih Hael

Album Belagu turut menyaksikan paduan semula suara Dayang bersama Hael Husaini.

Bercakap tentang pemilihan Hael Husaini sebagai rakan duetnya dalam album berkenaan, Dayang menganggap penyatuan bersama penyanyi dan komposer itu berpaksikan keserasian mereka yang menyubur sejak kerjasama sulung menerusi lagu Haram tiga tahun lalu.

“Dia antara rakan duet yang serasi dan paling penting senang bekerjasama.

“Bagi saya, Gurindam Jiwa terlalu romantik untuk saya sampaikan secara solo, jadi saya buat keputusan untuk mengundang Hael. Dia sendiri dengan sukarela mahu belajar kerana lagu ini adalah luar daripada fortenya,” tambah Dayang.

BAGI Dayang, setiap lagu Melayu klasik mempunyai ketinggian dan kedalaman makna tentang darjat seseorang. Semua itu terungkap dalam keindahan lirik yang penuh simbolik.

Berbalik tentang hasratnya yang mahu generasi muda hari ini menghargai lagu-lagu klasik, Dayang berpendapat Hael punya pengaruh besar dalam generasi baharu hari ini.

Secara tidak langsung Hael akan menarik minat kelompok pendengar muda untuk sama-sama mendengar dan menghayati lagu-lagu daripada album berkenaan.

“Saya berharap semua peminat akan menghargai album ini dan menerima mesej yang mahu saya sampaikan. Saya mahu semua pendengar khususnya generasi muda mengenali lantas menghargai khazanah lagu-lagu klasik Melayu kita.”

“Jika kita sendiri tidak mengangkat warisan ini, lambat-laun akan berkubur begitu sahaja. Saya anggap penghasilan album ini bukan saja satu penghargaan kepada orang lama tetapi juga sebagai satu tanggungjawab sebagai anak seni,” dedahnya menggulung perbualan.

Belagu diterbitkan syarikat produksi milik Dayang Nurfaizah, DN & AD Entertainment Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan diedarkan Universal Music Malaysia.

Album berkenaan boleh dinikmati secara digital menerusi platform seperti Spotify, Apple Music, iTunes, KKBox, Deezer dan Joox bermula 12 Februari ini.

MENGAKUI dirinya bukanlah seorang penyanyi lagu irama Melayu asli, Dayang turut berguru dengan penyanyi, Bob Yusof bagi menyempurnakan lenggok nyanyianya dalam album Berlagu.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI