PETALING JAYA – Setiausaha politik Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan iaitu Datuk Khamarulazlan Mohammad Hanafiah yang juga suami kepada usahawan kosmetik, Datin Rita Sosilawati disahkan positif Covid-19.
Perkara itu dimaklumkan Rita atau nama sebenarnya, Erni Dekritawati Yuliana Buhari menerusi laman Instagram miliknya semalam.
“Nak dijadikan cerita suami buat swab test (ujian calitan) dan keputusan dia positif dan saya terus kena asingkan anak-anak daripada suami.
“Sesiapa yang ada kontak rapat dengan suami saya sila buat swab test secepat mungkin,” dedah Rita.
Rita turut memuat naik video menunjukkan suaminya mengasingkan diri di bilik lain di rumah mereka demi menjalani kuarantin.
Sembilan tahun perkahwinan, Rita dan Khamarulazlan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Kaisar Raees, Khalid Rashad, Khaylila Rafaahiyah dan Khalil Rizqullah.
Dalam pada itu, majikan suaminya, Saravanan diarah menjalani kuarantin selepas menjadi kontak kepada Khamarulazlan yang disahkan positif Covid-19 pada Sabtu, 16 Januari.
Sidang khas Majlis Keselamatan Negara berlangsung secara maya pada 13 Jan lalu dan difahamkan, Saravanan hadir sebagai wakil dari kementeriannya.
Pembantunya yang positif itu hadir sebelum mesyuarat berlangsung bagi memastikan semua keadaan berada dalam keadaan sepatutnya.
Bagaimanapun, Saravanan kini dianggap sebagai kontak rapat dan dikehendaki menjalani kuarantin.
Minggu lalu, beberapa menteri kabinet disahkan positif Covid-19 termasuk Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin; Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mustapa Mohamed dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun.
Ahli politik lain yang disahkan positif Covid-19 termasuk Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, naib presiden PAS Idris Ahmad dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin. – K! ONLINE