PETALING JAYA – Gara-gara surau ditutup, penyanyi dan juga usahawan, Nubhan terpaksa solat di dalam bilik persalinan pakaian butik di sebuah pusat beli-belah di Seremban.
Menerusi satu perkongsian video yang dimuat naik dalam Instagramnya, Nubhan atau nama sebenar Ahmad Nubhan Ahamad berkata, surau ditutup bukan alasan bagi seseorang untuk tidak menunaikan solat.
“Sekarang surau shopping mall (pusat beli-belah) semua tutup. Tapi surau dekat sini saya tidak tahu tutup atau tidak.
“Kita kena guna kemahiran otak supaya tetap solat. Sebab jauh dan malas nak tawaf, inilah cara paling senang,” ujar bekas bintang Akademi Fantasia musim keenam (AF6) itu.
Sebelum solat, Nubhan memberitahu dia telah mengambil wuduk di dalam tandas sebelum mengambil sehelai baju untuk masuk ke dalam bilik persalinan.
Perkongsian tersebut telah mendapat pelbagai reaksi positif dalam kalangan peminat yang memuji tindakan Nubhan kerana menjaga solat.
“Idea yang bagus. Kita jenuh terkejar-kejar balik rumah sebab nak solat,” kata seorang pengikutnya dalam Instagram.
Seorang lagi pengikutnya memberitahu bahawa dia juga melakukan kaedah serupa iaitu solat di dalam bilik persalinan pakaian jika berada di luar negara kerana sukar untuk menemui surau dalam pusat beli-belah.
“Kalau pergi oversea (luar negara) biasa buat begini. Kalau tidak cari tempat sunyi yang tidak ada orang lalu-lalang,” katanya.
Difahamkan, ketika kejaidan Nubhan dan isterinya, Afifah Tawfek sedang membeli-belah di Palm Mall, Seremban. – K! ONLINE