SEBERANG PERAI – Sebuah rumah pusaka di Lembah Raja, Pinang Tunggal, Tasek Gelugor di sini hampir dijilat api selepas seorang penagih dadah bertindak membuat kebakaran kain berdekatan rumah itu malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 10.40 malam itu bagaimanapun berjaya dihentikan selepas salah seorang penghuni iaitu lelaki berusia 46 tahun yang sedang tidur menyedari kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, penghuni itu tersedar selepas terdengar bunyi motosikal yang kuat di hadapan rumah.
“Apabila keluar dari bilik dan pergi ke ruang tamu, buruh binaan itu mendapati adik lelakinya sedang membakar longgokan langsir dan pakaian.
“Ketika itu api sedang marak dan pengadu terus memadamkan api dengan air,” katanya keada pemberita hari ini.
Menurut Noorzainy, lelaki itu bagaimanapun telah menangkap adik bongsunya itu yang memiliki 10 rekod termasuk tujuh berkaitan dadah sebelum menyerahkannya kepada polis.
“Siasatan mendapati, suspek berusia 35 tahun positif syabu dan dia didapati terlibat dalam kegiatan dadah sebelum ini.
“Abangnya itu mengesyaki suspek bertindak demikian kerana pengaruh dadah dan dia tidak bermusuh dengan adiknya,” katanya lagi.
Menurut Noorzainy, pengadu turut bimbang dengan perbuatan adiknya itu boleh menyebabkan kebakaran rumah pusaka yang didiami mereka tiga beradik.
Kes disiasat mengikut Seksyen 435 dan 511 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE