JOHOR BAHRU – Seorang penjawat awam hanya menyedari ditipu sindiket Macau Scam setelah memindahkan wang sebanyak RM200,000 kepada satu akaun bank tidak dikenali dalam tempoh tiga hari sejak 15 November 2020.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Asisten Komisioner Mohd. Salleh Abdullah berkata, mangsa berusia 37 tahun ditipu seorang individu yang menyamar sebagai anggota polis dari Sabah.
Jelasnya, mangsa dihubungi suspek sejak Oktober tahun lalu.
“Polis Johor menerima satu laporan di Batu Pahat semalam daripada mangsa yang mengalami kerugian sebanyak RM200,000 akibat ditipu sindiket Macau Scam yang menghubunginya dan memberitahu mangsa terlibat dengan kes penggubahan wang haram.
“Mangsa yang panik dan cemas mengikut arahan suspek yang memberitahu mangsa perlu membuat pembayaran bagi membersihkan namanya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, setelah membuat pembayaran beberapa kali antara 15 November hingga 18 November tahun lalu, mangsa membuat panggilan ke Polis Sabah sebelum menyedari telah ditipu.
“Sehubungan itu polis mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dan membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi pembayaran.
“Orang ramai juga diminta untuk tidak berasa panik sekiranya mendapat panggilan sedemikian kerana polis tidak akan menghubungi mana-mana individu untuk membantu menyelesaikan kes melalui panggilan telefon,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai bahawa polis tidak pernah mengenakan sebarang bayaran untuk menyelesaikan apa sahaja kes jenayah.
“Selain itu, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat berhubung jenayah ini dengan menghubungi talian JSJK iaitu 013-2111222,” jelasnya.-K! ONLINE