fbpx

Peruntukan RM100 juta realisasi kerjasama hospital swasta, kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adham Baba

PUTRAJAYA – Peruntukan sebanyak RM100 juta akan disediakan untuk merealisasikan kerjasama dengan hospital swasta dalam usaha mengintegrasikan perkhidmatan kesihatan awam negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, melalui kerjasama itu, hospital swasta akan menerima dan merawat pesakit Covid-19 serta bukan Covid-19 sekali gus mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan.

“Inisiatif ini bertujuan mengurangkan kesesakan bilangan pesakit Covid-19 yang menerima rawatan daripada sektor kesihatan awam khususnya di hospital Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi pengumuman khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) berkata, hospital swasta  bersetuju untuk menerima dan merawat kedua-dua pesakit Covid-19 dan juga bukan Covid-19 bagi meringankan tekanan kepada sistem kesihatan awam.

Sementara itu, Adham berkata, sebanyak 3,500 kakitangan bertaraf kontrak melibatkan jururawat, anggota paramedik dan sebagainya akan diambil pada akhir bulan ini.

Menurut Adham, Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah diberikan peruntukan berjumlah RM800 juta untuk keperluan petugas barisan yang melibatkan perolehan kelengkapan perlindungan diri (PPE), reagen, kit saringan, cecair sanitasi tangan dan bahan guna habis.

“KKM juga telah diperuntukkan sebanyak RM3 bilion untuk penyediaan vaksin Covid-19 dengan pelan vaksinasi yang sedang dirancangkan akan bermula selewat-lewatnya Mac depan,” katanya.

Adham berkata, kerajaan meletakkan kesihatan rakyat sebagai keutamaan paling tinggi dan mempunyai sumber mencukupi untuk memastikan sistem kesihatan awam akan terus berkhidmat kepada rakyat bagi memerangi pandemik Covid-19.

“KKM berterima kasih kepada Perdana Menteri di atas Pakej Bantuan Khas yang diumumkan hari ini.

“Dengan pengumuman langkah-langkah tersebut, KKM menyeru masyarakat bersama-sama memerangi penularan Covid-19 secara bersepadu,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI