PETALING JAYA – Gara-gara ciapan rawak, satu akaun parodi menerusi Twitter berdepan kecaman hebat daripada peminat pelakon senior dan berpengalaman, Norlia Ghani.
Semuanya bermula apabila pemilik akaun berkenaan yang tidak dapat dikenal pasti identiti sebenar itu memuat naik ciapan membandingkan kecantikan pelakon Kavita Sidhu pada usia 49 tahun dengan Norlia pada usia 30 tahun.
“Kavita Sidhu umur 49. Engkau orang umur 30 dah rupa Norlia Ghani” ciap pemilik akaun parodi @IsteriNajib itu berserta beberapa tangkap layar foto Kavita termasuk foto berbikini.
Ciapan berkenaan mencetuskan kemarahan ramai, termasuk seorang pereka fesyen yang juga pemilik jenama Furby and Sugar, Januar Haikal. Dakwa Januar, Norlia mempunyai pertalian darah dengannya.
“Norlia Ghani is my auntie (Norlia Ghani ialah ibu saudara saya). And she works really hard at her age (dan dia bekerja keras pada usianya). I don’t know what and how to feel when I see this kind of comparison. (Saya tak tahu dan nak rasa rasa bagaimana bila saya saya nampak perbandingan sebegini).
“Semoga Allah merahmati anda.
“Saya berharap anda dapat semua perhatian yang anda mahukan. Doakan auntie Norlia Ghani supaya dia dimurahkan rezeki dan panjang umur serta sentiasa dilindungi Allah SWT. Terima kasih kerana menghargai bakat beliau,” ciap Januar.
Disebabkan isu yang menjadi sohor kini dalam Twitter, netizen mula mengenang drama, iklan dan filem yang pernah dijayakan Norlia.
Norlia atau nama lengkapnya, Norlia Ghani Abdul Hamid, kini sudah berusia emas iaitu 72 tahun. Beliau juga merupakan ibu kepada pelakon terkenal, Rusdi Ramli.
“Norlia Ghani ini pun mak iklan susu pekat dan mak iklan sabun pinggankan?,” ciap seorang netizen terus mengenang nostalgia.
Norlia cukup dikenali rakyat Malaysia sebagai dramatis hebat yang tidak pernah gagal membawakan watak air mata. Antara drama lakonannya yang berbekas dalam ingatan khalayak, termasuklah Quran Buruk, Liang Lahad dan Tanah Kubur. – K! ONLINE