PETALING JAYA – Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang dijadualkan pada 30 dan 31 Januari ini akan ditangguhkan sehingga suatu tarikh baharu dimaklumkan kelak.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu selaras dengan Proklamasi Darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan baru-baru ini.
“Adalah diingatkan agar ahli-ahli UMNO sentiada mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersetuju agar pemilihan parti itu diteruskan di semua peringkat seperti dijadualkan pada tarikh bersesuaian tahun ini.
“Sementara itu, semua ahli UMNO adalah diingatkan agar sentiasa merapatkan barisan bagi menumpukan kepada isu-isu membela dan membantu rakyat, pada ketika yang begitu mencabar ini,” katanya. – K! ONLINE