KUALA LUMPUR – Kerajaan disarankan supaya mempercepatkan pelaksanaan pelbagai bentuk bantuan yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2021 bagi membantu meringankan beban rakyat dalam menempuhi fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Proklamasi Darurat.
Pelaksanaan pemberian Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 misalnya, dianggap perlu dibuat pada kadar segera bagi membantu aliran tunai rakyat marhaen terutamanya mereka yang terjejas
akibat pelaksanaan PKP di beberapa negeri selama dua minggu.
Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kerajaan juga wajar mempertimbangkan untuk menambah jumlah peruntukan yang disediakan untuk BPN 2.0 sekiranya permohonan untuknya meningkat berbanding yang diunjurkan sebelum ini.
Jelasnya, semakin ramai rakyat terjejas sumber ekonomi bukan hanya disebabkan kawalan pergerakan bagi mengawal pandemik, malah disebabkan bencana banjir.
“Selain itu, kerajaan diminta mempercepatkan pelaksanaan inisiatif MySTEP atau Short-term Employment Programme bagi membantu golongan kehilangan punca pendapatan,” katanya ketika
dihubungi semalam.
MySTEP diumumkan bakal menawarkan 50,000 peluang pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di bawah Belanjawan 2021 dan ia dijadualkan bermula Januari ini.
Di bawah inisiatif tersebut 35,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan dalam sektor awam dengan keutamaan mengisi perjawatan seperti jururawat, pegawai kebajikan masyarakat serta guru sementara manakala syarikat GLC menyediakan 15,000 peluang pekerjaan yang mengutamakan bidang teknikal dan kewangan.
Fasa kedua BPN 2.0 pula diumumkan bakal disalurkan seawal 21 Januari ini bagi golongan B40 manakala penerima M40 dijangka akan mendapat bantuan pada 25 Januari ini.
Khamis lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan laporan Laksana Ke-36 menyatakan kesediaan kerajaan untuk mendengar saranan dan menambah baik inisiatif yang diumumkan sebelum ini sekiranya perlu.
Jelasnya, Kementerian Kewangan sedang mengkaji dan membincangkan penambahbaikan yang sesuai kepada langkah Belanjawan 2021 bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan
kelangsungan perniagaan.
Dalam pada itu, Ahmed Razman menambah, kerajaan juga perlu mempertimbangkan untuk memperluaskan bantuan Subsidi Upah berjumlah RM1.5 bilion kepada semua sektor yang terjejas
dan bukan hanya memfokuskan kepada sektor pelancongan dan peruncitan bagi menjamin pekerjaan rakyat.
“Ini termasuk sektor perkhidmatan, agromakanan dan perkilangan, terutamanya yang melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan mikro,” katanya.