JEMPOL – Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditungganginya merempuh seekor lembu di kilometer 33, Jalan Bahau-Kemayan, dekat sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.45 pagi itu, mangsa, Mohd Shaffick Jamaludin, 40, disahkan maut di lokasi kejadian susulan mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha.
“Mangsa yang beralamat di Felda Lui Muda dalam perjalanan ke Sungai Lui. Setiba ditempat kejadian, dipercayai mangsa telah melanggar seekor lembu yang sedang melintas.
“Akibat kemalangan penunggang telah meninggal dunia ditempat kejadian dan disahkan oleh Pegawai Perubatan Hospital Jempol yang hadir dilokasi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Chang Hook berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk tujuan bedah siasat.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -K! ONLINE