PARIS – Penyerang termahal dunia, Neymar mengakui dia sempat terfikir untuk bersara daripada bola sepak selepas menerima kritikan hebat sebelum ini.
Neymar sering menjadi mangsa apabila dikatakan gemar ‘berlakon’ dan merebahkan badan sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan peminat bola sepak.
“Saya tidak pernah hilang keinginan dalam bola sepak tetapi ada ketikanya saya terfikir mahu bersara. Saya bertanya kepada diri sendiri apa gunanya saya bermain lagi jika peminat tidak sukakannya.
“Saya tidak pernah merasai tekanan kerana saya adalah orang yang pandai menguruskan setiap tekanan itu, menjadi pemain No. 10 dalam pasukan Brazil, di PSG dan menjadi seorang Neymar.
“Ada masanya saya akan pulang ke rumah dalam keadaan marah tetapi apabila diingatkan semula bagaimana saya berusaha untuk berada di sini, ia akan membuatkan saya tenang dan kembali kepada realiti,” katanya.
Bekas pemain Santos itu percaya, kewujudan media sosial membuatkan ramai pihak dengan mudah menyerangnya dan melemparkan kritikan tetapi itu semua tidak pernah mengganggu hidup dan kariernya.
“Saya fikir media sosial adalah satu tempat di mana orang akan masuk dan menjadi sebahagian daripada hidup anda, menghukum, meletakkan persepsi dan membenci.
“Sebab itu saya tidak mengambil serius mengenai komen-komen yang diberikan. Saya tidak suka membaca benda yang tidak penting dan tidak memberikan manfaat,” jelasnya. –AGENSI