fbpx

Nelayan bimbang keadaan isteri sebelum hilang di laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Afzanizar (dua dari kanan) menunjukkan wajah Ahmad Norizan yang hilang bersama-sama rakannya yang dilaporkan hilang Irwan selepas keluar menangkap ikan pada Rabu lalu.

MELAKA – “Sebelum hilang, kali terakhir kami berbual suami tiba-tiba mengenangkan kehidupan saya sekiranya dia tiada nanti, namun saya tidaklah begitu memikirkan kata-katanya kerana dia memang suka bergurau,” luah Faradila Sharudin, 37.

Menurut Faradila, sehingga kini, suaminya, Ahmad Norizan Mohamad, 38, dan rakan Irwan Radjab, 47, masih belum ditemui selepas keluar bersama-sama menangkap ikan di perairan Selat Melaka, berhampiran Pulau Undan, Rabu lalu.

“Suami ada memberitahu dia ingin menangkap ikan bersama Wan (Irwan) dan keluar rumah menaiki kereta kawannya itu kira-kira pukul 7 pagi.

“Biasanya memang mereka akan keluar menangkap ikan dalam sehari atau dua hari tetapi tidak pernah sampai tiga hari dan itu yang membuat saya risau,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ujarnya, dia yang bimbang dengan keselamatan suaminya telah keluar mencari lelaki berkenaan di Jeti Nelayan Padang Temu dan menjumpai kereta milik Irwan yang dipakirkan di kawasan tersebut.

“Pada Khamis lalu, saya telah cuba menelefonnya namun tidak berjawab, malah mesej Whatsapp yang saya hantar juga sehingga kini tidak masuk, mungkin tiada liputan.

“Saya kemudian terus keluar mencarinya di jeti, namun hanya kereta Wan sahaja yang ada. Saya telah membuat laporan di Balai Polis Kandang pada Sabtu lalu untuk membolehkan pihak berkuasa membantu mencarinya,” katanya.

Sementara itu, isteri Irwan, Rosdiana Mongkin, 42, ketika dihubungi berkata, sehingga kini dia buntu dengan kehilangan suaminya selain kepenatan kerana tidak dapat tidur memikirkan keselamatan lelaki berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan itu yang memasuki hari kedua telah diperluaskan meliputi 7.9 batu nautika dari Jeti Nelayan Padang Temu ke Pulau Undan.

Jelasnya, seramai enam pegawai dan 50 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia terlibat dalam operasi SAR berkenaan.

“Kita juga telah meminta bantuan unit udara JBPM berpengkalan di Subang, Selangor untuk membuat tinjauan menggunakan helikopter selama 25 minit, namun tidak menemukan sebarang petunjuk.

“Radius SAR telah diperluaskan sehingga 36 batu nautika sekitar perairan Pulau Undan bagi menjejaki kedua-dua mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Jeti Nelayan Padang Temu, di sini, hari ini.

Tambahnya, berdasarkan maklumat saksi, mangsa dipercayai berada di sekitar perairan Pulau Undan dan tidak menolak kemungkinan dua rakan itu mungkin dihanyutkan disebabkan masalah teknikal seperti kehabisan minyak dan sebagainya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI