PETALING JAYA – Bekas Penyelaras Parlimen Jasin Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendakwa telah mengarahkan peguamnya memfailkan saman pemula terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Malaysia hari ini.
Beliau mendakwa saman pemula itu untuk meminta pandangan daripada badan kehakiman mengenai kedudukan seorang Perdana Menteri yang telah hilang sokongan majoriti sama ada mempunyai ‘locus standi’ untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi Proklamasi Darurat.
“Saya sama sekali tidak mempertikaikan sebarang bentuk kuasa yang ada pada Yang di-Pertuan Agong sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Negara.
“Pertikaian dan persoalan saya adalah mengenai seorang Perdana Menteri yang tidak lagi mempunyai sokongan majoriti dari ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah ‘salah nasihat’ Yang di-Pertuan Agong,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Khairuddin mendakwa, Perdana Menteri yang telah kehilangan sokongan majoriti dalam kalangan Ahli Parlimen tidak wajar bertindak demikian.
Dakwa beliau lagi, ia bercanggah dan bertentangan dengan sistem politik yang berteraskan kepada amalan demokrasi.
“Perbuatan menyanggah serta tidak menghormati keluhuran undang-undang secara sah harus diserahkan kepada bidang kehakiman yang bijaksana untuk membuat keputusan secara sahih,” dakwanya. – K! ONLINE