SHAH ALAM- Industri gunting rambut di Selangor mula merasai bahang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang bermula sejak Rabu lalu.
Larangan bagi premis tersebut dibuka dalam tempoh PKP menyebabkan majoriti pemilik kedai gunting mengalami kerugian besar sehingga ada mula gulung tikar kerana tidak mampu bertahan menanggung kos operasi.
Nasib tersebut dialami Manginoo Shah Alam Barber Shop di Shah Alam apabila pemiliknya, Mohd. Hidayat Rahim telah mengiklankan penjualan perniagaannya di Facebooknya, kelmarin.
Mohd. Hidayat berkata, keputusan berat itu terpaksa diambil selepas tidak mampu lagi bergelut bagi meneruskan kelangsungan kedai yang telah diusahakan sejak empat tahun lalu.
Katanya, penutupan premis selama dua minggu membuatkannya menanggung kerugian lebih RM5,000 dan tidak termasuk sewa bulanan kedai yang perlu dibayar sebanyak 2,600.
“Siapa tidak kecewa dan Covid-19 ini betul-betul ‘membunuh’ banyak perniagaan termasuk kedai gunting ini. Malah saya turut menjual kedai dobi milik saya yang terletak bersebelahan premis gunting itu.
“Tambahan, kita tidak tahu sama ada PKP bakal disambung lagi atau tidak dengan kes jangkitan juga didapati tidak menurun. Ini mungkin cara terbaik bagi saya meneruskan kehidupan,” katanya ketika dihubungi sini hari ini.
Jelas Mohd. Hidayat, setakat ini dia belum menerima mana-mana tawaran pembelian daripada pihak yang berminat.
Media sebelum ini melaporkan beberapa pemain industri termasuk pengusaha kedai gunting rambut mendesak kerajaan membuka ruang kepada mereka menjalankan perniagaan.
Sementara itu, seorang pemilik kedai gunting dikenali Zainal turut memaklumkan terpaksa mengeluarkan wang simpanan puluhan ribuan ringgit dalam mengekalkan empat pekerjanya agar tidak menjadi penganggur.
“Anggaran kerugian saya adalah lebih RM9,000 sepanjang tempoh dua minggu PKP ini. Kita harap kerajaan pertimbangkan semula penutupan kedai gunting memandangkan kebanyakan daripada pemain industri ini sudah tenat,” jelasnya. -K! ONLINE