PETALING JAYA – Pengendali hospital swasta disarankan menerima segera pesakit Covid-19 bagi mengurangkan kesesakan dan fasiliti milik hospital kerajaan.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, ia merupakan masa sesuai untuk hospital swasta menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia.
“Pihak pengendali hospital swasta perlu mengeluarkan garis panduan yang jelas dengan segera kepada kerajaan dan orang awam mengenai kesediaan mereka untuk menerima dan merawat pesakit Covid-19.
“Cuepacs tidak mahu pengumuman yang dibuat oleh kerajaan hanya disambut oleh sebahagian kecil saja daripada pengendali hospital swasta atau sekadar buat cukup syarat saja,” katanya di sini tadi.
Katanya, semua pihak juga perlu berkongsi kepakaran dan tenaga untuk menyelamatkan negara daripada pandemik Covid-19. – K! ONLINE