JOHOR BAHRU – Dua kes kematian melibatkan pesakit positif Covid-19 direkodkan di negeri ini menjadikan kes kumulatif kematian meningkat kepada 51 kes setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, kes kematian itu melibatkan dua orang warga emas berusia 61 dan 67 tahun.
Beliau berkata, sebanyak 362 kes baharu positif Covid-19 dicatatkan semalam menjadika jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negeri ini meningkat kepada 13,372 kes.
Katanya, kes tempatan yang dikesan melibatkan daerah Johor Bahru sebanyak 134 kes, Muar (31 kes), Batu Pahat (44 kes), Kluang (28 kes), Segamat (1 kes), Kulai (51 kes), Kota Tinggi (27 kes), Pontian (26 kes), Mersing (7kes) dan Tangkak (3 kes) manakala bagi kes import luar negara melibatkan dua kes di Johor Bahru.
“Daripada 362 kes baharu itu, 109 daripadanya adalah kluster-kluster sedia ada manakala 116 kes saringan kontak rapat kes , dua kes import dari luar negara dan 102 kes daripada lain-lain saringan Covid-19.
“33 kes direkodkan daripada kluster baharu iaitu Kluster Jalan Perak yang dikesan sejak hujung tahun lalu hasil saringan di tempat kerja di Jalan Perak 4, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Vidyananthan berkata, kes sembuh Covid-19 di negeri ini sebanyak 7,613 kes manakala yang masih dirawat adalah sebanyak 5,708 kes.
Jelasnya, sehingga kini, kluster yang masih aktif ialah sebanyak 43 kluster di seluruh negeri ini antaranya Kluster Tropika, Kluster Pasir Barat, Kluster Tanjung Megah, Kluster Kota dan Kluster Jalan Rami.
Tambahnya, daerah Johor Bahru, Kota Tinggi, Muar, Kulai, Batu Pahat, Mersing, Pontian, Kluang dan Segamat berada dalam zon merah manakala Tangkak berada dalam kuning dengan sejumlah
satu kes jangkitan dilaporkan.-K! ONLINE