MELAKA – Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka mengesahkan dua kakitangannya positif Covid-19, manakala 45 pegawai serta anggota sedang menjalani tempoh kuarantin di rumah masing-masing sejak minggu lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, dua kakitangan yang dijangkiti Covid-19 itu membabitkan seorang Sub Inspektor dan kakitangan awam yang bertugas di bahagian logistik masing-masing berusia 30 dan 53 tahun.
Menurutnya, kedua-duanya telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang, Selangor pada awal minggu lalu.
“Sub Inspektor tersebut dijangkiti melalui rakan kepada anaknya yang positif Covid-19, manakala seorang lagi daripada kakaknya yang pulang dari kampung.
“Kedua-duanya telah dihantar ke PKRC Maeps dan seramai 45 lagi kakitangan yang mempunyai kontak dengan mereka telah menjalani kuarantin di rumah masing-masing,” katanya pada sidang akhbar di IPK Melaka, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, setakat ini seramai 83 kakitangan di ibu pejabat itu telah menjalani ujian calitan Covid-19.
“Kita juga juga telah melaksanakan sanitasi di seluruh di IPK dan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menjejaki kontak rapat serta kluster mana yang terlibat.
“Bagaimanapun ini perkara ini sama sekali tidak menjejaskan penugasan anggota polis di Melaka,” katanya.