fbpx

Dua beranak buntu sekolah tutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noraida (kiri) bersama Nurul Najwa berada dalam dilema selepas mereka berdua hilang punca pendapatan sejak sekolah ditutup.

KOTA BHARU – Dua beranak yang bekerja sebagai pembantu kantin sekolah semakin buntu apabila berterusan menganggur sejak tahun lalu kerana sesi persekolahan ditangguhkan la­­gi akibat penularan wabak ­Covid-19.

Noraida Abd. Rahman, 52, dan anaknya, Nurul Najwa Mohd. Zulkilfi, 21, kini hilang sumber pendapatan untuk menyara hidup.

Menurut Noraida, dia bekerja sebagai pembantu kantin di sebuah sekolah sejak tujuh tahun lalu dan berulang alik ke tempat kerja sejauh satu kilometer de­ngan berjalan kaki dari rumah­nya di Kampung Paya Bemban di sini.

Bagi membantunya menya­ra keluarga, Nurul Najwa yang merupakan orang kurang upaya (OKU) kategori masalah pem­belajaran turut bekerja di kantin sekolah yang sama pada awal tahun lalu.

“Sebelum ini, Nurul Najwa hanya menjaga arwah suami saya, Mohd. Zulkilfi Ismail yang terlantar sakit di kampungnya di Tumpat. Selepas arwah meninggal dunia empat tahun lalu, saya bawa dia tinggal bersama di sini.

“Selepas itu, saya mengajak­nya untuk bekerja bersama di kantin sekolah kerana bimbangkan keselamatannya jika tinggal seorang diri di rumah,” katanya.

Bercerita lanjut, Noraida berkata, gajinya sebagai pembantu kantin sekolah dibayar seba­nyak RM30 sehari, manakala Nurul Najwa pula dibayar RM10 sehari.

Mereka berdua bagaimanapun hilang punca rezeki selepas sekolah ditutup akibat penularan wabak Covid-19 di negara ini di­susuli dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula Mac tahun lalu.

“Kami mengharapkan dapat mencari rezeki semula pada tahun ini, namun tanpa disangka, akhirnya terpaksa menganggur lagi gara-gara Covid-19,” katanya.

Dua beranak itu tinggal di rumah pusaka berusia lebih 50 tahun yang serba daif, termasuk tiada bekalan air bersih bersama adik lelaki Noraida, Fauzi Abdul Rahman, 49.

“Kami berdepan masalah bekalan air bersih kira-kira setahun lalu. Nurul Najwa terpaksa mengangkut air dari rumah sepupu yang tinggal berhampiran.

“Bagi meneruskan kehidupan, kami dua beranak bergantung harap kepada adik saya yang be­kerja sebagai penghantar ais kiub,” katanya.

Noraida memberitahu, dia pernah memohon bantuan khusus untuk anaknya sebagai OKU dari Jabatan Kebajikan Masyarakat 10 tahun lalu, namun permohonan itu tidak diluluskan sehingga sekarang.

Orang ramai yang ingin membantu Noraida boleh menghulurkan sumbangan kepadanya menerusi akaun Maybank Noraida Abdul Rahman 55-8284-32-1547 atau menghubungi talian 010-516 8269.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI