PETALING JAYA – Kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun khas bil elektrik sebanyak 10 peratus bagi tempoh Januari hingga Mac depan kepada enam sektor perniagaan di seluruh negara.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia meliputi pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan.
“Di samping itu, rebat elektrik diberikan kepada semua pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB), domestik dan bukan domestik, pada kadar 2 sen setiap kilowatt sejam.
“Ia bersamaan penurunan bil elektrik sehingga sembilan peratus bagi tempoh enam bulan mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2021,” katanya pada sidang akhbar khas hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan akan memperluaskan Geran Khas Prihatin
Tambahan (GKP Tambahan) kepada 500,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di tujuh negeri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, ia melibatkan bayaran RM1,000 manakala 300,000 PKS di negeri yang lain akan menerima RM500 ringgit.
“Perluasan inisiatif GKP Tambahan ini atau GKP Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM650 juta.
“Namun demikian, sekiranya terdapat negeri yang berubah menjadi zon merah dan diisytiharkan PKP, kerajaan sedia membantu dengan menyalurkan bantuan tambahan kepada PKS di negeri tersebut dengan serta-merta,” katanya.
Pada masa sama, menurut beliau, bagi meringankan beban khususnya pemandu teksi dan bas, kerajaan bersetuju menyediakan bantuan kewangan one-off sebanyak RM500 kepada 14,000 pemandu pelancong.
Ujarnya, turut menerima bantuan kewangan itu termasuklah 118,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing dengan peruntukan tambahan sebanyak RM66 juta. – K! ONLINE