Semalam, Malaysia merekodkan kes harian 3,339 selepas merekodkan kes tertinggi 4,029 pada Sabtu, sekali gus meletakkan negara pada kedudukan ke-61 dalam ranking dunia dengan jumlah pesakit Covid-19 keseluruhan sebanyak 158,434.
Dengan jumlah pesakit aktif semasa seramai 37,782 orang, pihak hospital di seluruh negara ketika ini mungkin berada dalam keadaan ‘kesibukan yang amat sangat’.
Senario ini telah mewujudkan satu cabaran baharu kepada petugas barisan hadapan atau frontliners kita khususnya yang bertugas di hospital-hospital kerajaan kerana terpaksa berdepan dengan pertambahan mendadak pesakit Covid-19 setiap hari.
Malah, pada masa yang sama pihak hospital turut berdepan dengan pesakit-pesakit lain yang juga memerlukan perhatian dan rawatan sewajarnya daripada mereka.
Perjuangan mereka sebenarnya telah bermula sejak awal tahun lalu dan ia berterusan sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama pada 18 Mac 2020 sehinggalah ke hari ini.
Untuk tempoh 18 Mac hingga 6 September 2020, jumlah pesakit aktif semasa boleh dikatakan tidak pernah mencecah angka 2,000 orang, namun hari ini para petugas barisan hadapan kita terpaksa berdepan dan merawat sehingga 37,782 pesakit Covid-19 serentak setiap hari.
Mereka terpaksa bekerja siang dan malam, malah ada dalam kalangan frontliners kita yang terpaksa tidur dengan beralaskan lantai dan bersandarkan dinding sahaja. Pesakit baharu bertambah secara mendadak, manakala kapasiti katil di hospital mula mencapai tahap maksimum.
Kadang-kadang penulis terfikir, bagaimana para petugas barisan hadapan kita berdepan dengan situasi ini setiap hari? Bagaimana mereka makan dan minum? Bagaimana mereka tidur? Adakah mereka berpeluang berjumpa keluarga?
Walaupun dibekalkan pakaian perlindungan peribadi (PPE) yang tebal dan mengikuti prosedur yang ketat sepanjang tempoh bertugas, mereka juga tidak boleh lari daripada terdedah kepada virus korona setiap hari.
Tetapi mereka ‘tetap gagah’ menyantuni pesakit-pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan terbaik daripada mereka.
Menyedari hakikat ini, kita sebagai masyarakat harus lebih bertanggungjawab dengan cuba sedaya upaya untuk mengelakkan diri daripada terdedah kepada risiko dijangkiti pandemik ini.
Ia bukan sahaja untuk menjaga kesihatan kita, malah untuk mengurangkan bebanan dan tekanan yang terpaksa ditanggung para frontliners kita yang kini sedang bertungkus-lumus berjuang di setiap hospital.
Kepada barisan hadapan kita tidak kira di mana pun anda bertugas sama ada di hospital, pihak polis, tentera serta semua yang terlibat dalam mengekang merebaknya pandemik Covid-19 ini, kami doakan anda semua dikurniakan kekuatan dalam melaksanakan tanggungjawab besar kepada rakyat dan negara.