fbpx

Anak gajah jantan mati dilanggar kenderaan berat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN gajah yang mati dipercayai dilanggar kenderaan berat di JRTB Gerik-Jeli semalam.

GERIK – Seekor anak gajah jantan mati dipercayai dilanggar kenderaan berat di Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli berhampiran kawasan simpang Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 5 pagi itu, anak gajah berusia lingkungan empat hingga lima tahun itu ditemui mati oleh orang awam sebelum memaklumkannya kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, anak gajah berkenaan dipercayai dilanggar kenderaan berat seperti lori atau bas selepas melihat kecederaan yang dialaminya.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini belum ada pihak tampil membuat laporan mengenai kemalangan tersebut.

“Bangkai gajah anak jantan itu kini sudah dipindahkan dan ditanam di kawasan hutan berhampiran oleh anggota Perhilitan Gerik tengah hari semalam.

“Perhilitan amat berharap supaya pengguna jalan raya terutamanya yang melalui jalan berhampiran hutan agar lebih berhati-hati lebih-lebih lagi di kawasan hidupan liar seperti di jalan Gerik-Jeli ini,” katanya.

Pihaknya turut mengingatkan agar pengguna jalan raya sentiasa berwaspada dan ambil berat dengan papan tanda mengenai kewujudan binatang liar di sesuatu kawasan dan patuh dengan arahan yang dipamerkan di papan tanda tersebut. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI