BEREGU lelaki profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong menggalas harapan Malaysia apabila menempah slot ke perlawanan akhir kejohanan Badminton Terbuka Thailand di Bangkok yang dijadualkan berlangsung hari ini.
Bekas beregu No.1 dunia itu mudah melangkah ke pentas final selepas menewaskan beregu muda Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 21-19, 21-10 pada aksi separuh akhir semalam.
Kata V Shem, mereka berjaya mengambil kesempatan atas kesilapan yang dilakukan selain dapat melihat beregu muda berkenaan bermain dalam keadaan gugup.
“Secara keseluruhan, saya gembira dengan permainan kami hari ini (semalam), lebih-lebih lagi dapat kawal gelanggang dengan baik sepanjang aksi dua set itu.
“Kami juga boleh lihat beregu Indonesia bermain dalam keadaan gugup. Oleh itu, kami ambil kesempatan tersebut untuk lakukan serangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Selain itu, beberapa kesilapan yang dilakukan Carnando-Marthin terutamanya pada set kedua memberi kelebihan untuk menjarakkan diri dengan perbezaan mata lebih besar.
“Pada set kedua, mereka banyak lakukan kesilapan mudah dan kami berjaya mengambil kesempatan itu.
“Bagi aksi final esok (hari ini), kami akan berbincang bagi memilih taktikal terbaik,” ujarnya lagi.