LONDON – Legenda Manchester United dan England, Wayne Rooney akhirnya mengumumkan persaraan sebagai pemain bola sepak profesional bagi menggalas tanggungjawab pengurus sepenuh masa.
Terdahulu, Rooney bersetuju menandatangani kontrak bagi membimbing pasukan Liga Kejuaraan, Derby County dengan perjanjian selama tiga tahun.
Derby bersetuju melantik produk akademi Everton itu sebagai pengendali tetap selepas beliau berjaya membimbing pasukan tersebut mencatat tiga kemenangan serta empat seri ketika menjadi jurulatih sementara.
“Kami gembira dan bangga untuk melantik Wayne Rooney sebagai pengurus baharu pasukan ini. Pasukan bermain dengan cemerlang di bawah kendalian beliau,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Derby, Stephen Pearce.
Sementara itu, Rooney yang merupakan penjaring terbanyak England menganggap pelantikan tersebut sebagai penghargaan terbesar dalam kariernya.
“Diberikan peluang untuk mengikut jejak langkah Brian Clough, Jim Smith, Frank Lampard dan Phillip Cocu mengendalikan pasukan ini adalah sesuatu yang menakjubkan.
“Saya berjanji untuk berikan segala-galanya buat pasukan ini. Kami tidak akan sia-siakan kepercayaan yang diberikan oleh penyokong bagi membawa Derby ke puncak prestasi,” ujar Rooney. – AGENSI