JOHOR BAHRU – Polis Johor merekodkan rampasan dadah terbesar dalam sejarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dengan membuat rampasan dadah bernilai RM201 juta menerusi serbuan di tiga lokasi yang dijadikan stor penyimpanan dadah di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan berkenaan dilakukan di kawasan Mount Austin dan Setia Indah, pada 14 dan 15 Januari lalu.
Jelasnya, serbuan itu ekoran operasi yang dijalankan pihaknya melibatkan tangkapan seramai 15 suspek berusia antara 17 hingga 62 tahun, minggu lalu yang melibatkan rampasan dadah bernilai RM131 juta.
“Hasil soal siasat, empat suspek yang ditahan mendedahkan tiga lagi lokasi yang dijadikan stor penyimpanan dadah di daerah ini.
“Susulan itu, tiga serbuan dijalankan melibatkan sebuah kilang di Mount Austin dan dua rumah sewa di Setia Indah yang dijadikan stor penyimpanan dadah sindiket berkenaan.
“Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas 3.2 tan serbuk ekstasi, 26.1 kilogram (kg) cecair ekstasi dan 117 kg serbuk Eramin 5 dengan nilai keseluruhan sebanyak RM201 juta,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Katanya, jumlah rampasan dadah berkenaan boleh digunakan oleh seramai lebih 11 juta penagih dadah melibatkan pasaran tempatan dan luar negara.
“Siasatan mendapati sindiket berkenaan telah beroperasi sejak 2018 dengan membawa masuk bahan mentah serta peralatan dari China yang mampu bertahan untuk tempoh tiga tahun,” ujarnya.
Menurut Ayob Khan lagi, dalam serbuan berkenaan, polis turut menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di premis kilang Mount Austin pada 14 Januari, manakala seorang lagi lelaki berusia 38 tahun ditahan di Taman Gaya, Ulu Tiram semalam.
“Operasi berkenaan turut menyaksikan beberapa barangan dirampas termasuklah wang tunai berjumlah RM5.8 juta, empat buah kenderaan mewah, barangan kemas dan 62 akaun bank melibatkan nilai keseluruhan RM8.6 juta.
“Jumlah keseluruhan rampasan dadah dan barangan sitaan menerusi serbuan terbaharu ini sebanyak RM210.5 juta manakala jumlah rampasan dan sitaan membabitkan sindiket ini merupakan kedua-dua operasi bernilai RM341 juta,” ujarnya.
Tambah beliau, kedua-dua yang ditahan kini dikenakan reman bagi membantu siasatan manakala 15 suspek yang ditahan sebelum ini turut disambung reman selama empat hari sehingga 20 Januari.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- K! ONLINE