SIBU -Hari kedua pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan sebanyak tiga kedai kopi di Taman Rejang di sini masih membenarkan pelanggannya menjamu selera di dalam premis.
Susulan itu, pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Kaunselor Clarence Ting Ing Horh telah mengarahkan penguatkuasa MPS dan pihak polis untuk terus memantau premis-premis yang ingkar.
“Jika didapati mereka masih degil, MPS akan menutup terus operasi premis berkenaan selain dikenakan kompaun.
“Ini baru hari kedua Sibu melaksanakan PKP dan ramai yang sudah mengambil ringan. Jangan main-main dan pandang ringan arahan ini,” katanya selepas membuat serbuan ke atas premis itu di sini tadi.
Selain itu, terdapat juga beberapa kedai kopi yang turut membenarkan pelanggan menjamu selera di dalam premis di beberapa kawasan lain seperti di Dewan Suarah Sibu dan Pasar Sungai Merah seolah-olah menghiraukan arahan PKP. -K! ONLINE