PERAK TENGAH – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sedia bekerjasama dengan agensi pertanian negeri bagi melaksanakan penanaman kenaf secara integrasi dengan kerjasama Lembaga Kenaf Tembakau Negara (LKTN).
Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, kerjasama itu akan membolehkan pengurusan kenaf agensi negeri dibuat dengan lebih terancang dan tersusun.
“Projek tanaman kenaf di Perak ini yang pertama sebagai perintis diikuti negeri lain dan kita harap Perak sendiri pun bukan sahaja terhenti di sini.
“Kita mahu digerakkan, lagi pun program ini bersifat bermusim hanya empat bulan sahaja dan kita boleh pelbagaikan lagi projek seumpamanya selepas ini,” katanya selepas melancarkan Ladang Rakyat Kenaf Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), di Ladang Lambor Pulau Tiga di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria; Ketua Pengarah LKTN, Idris Mohd Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya.-K! ONLINE