fbpx

‘Kau, aku, kita semua harimau menangis’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DARIPADA kes Sajat ditahan JAIS sehingga depresi membawa kepada kontroversi daging harimau menangis ibu Neelofa, dua isu hangat yang menjadi pertelagahan netizen minggu ini.

SAAT ketika Malaysia sedang ‘menangisi’ situasi pandemik Covid-19 yang kian meruncing apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diwartakan semula selama dua minggu bermula 13 Januari hingga 26 Januari di enam negeri, lain pula sedikit cerita tentang industri hiburan tanah air.

Beberapa artis mengesahkan mereka positif Covid-19 seperti Emma Maembong dan Epul Drama Band. Apa yang lebih menjadi buah mulut orang ramai minggu ini adalah kisah usahawan kosmetik, Nur Sajat yang akhirnya mengakui dirinya berstatus transgender. Sajat yang sudah melakukan pembedahan penukaran jantina dan natijahnya, dia didiskriminasi di tanah kelahiran sendiri.

Kontroversi bertitik tolak daripada pendedahan Sajat atau nama lengkapnya, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman sewaktu ditahan pada tanggal 6 Januari lalu di Pusat Tahanan Sementara (PTS), Kuala Kubu Bharu. Dakwanya, dia dilayan tidak wajar walaupun telah memberi kerjasama sewajarnya kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Sajat ditahan selepas mengadakan majlis doa selamat untuk anak-anak tahfiz pada tarikh 23 Februari 2018 sebelum segelintir pihak mengambil tindakan membuat laporan kepada JAIS yang tidak bersetuju dirinya berpakaian seperti wanita dan disifatkan mempermainkan agama.

Sejak dari situ, bermulalah siri ‘drama’ Sajat dan netizen dalam media sosial. Sajat mendedahkan depresi teruk yang dialami sehingga dimasukkan ke hospital. Dia juga terpaksa menelan ubat tidur bagi melupakan tragedi hitam tersebut.

Dalam gelanggang media sosial, terutama Twitter, ramai yang tidak bersetuju dengan tindakan Sajat, 36. Ada juga yang beranggapan dia tidak sepatutnya dilayan kasar hanya kerana berperwatakan dan berpakaian seperti seorang wanita walaupun asalnya dia seorang lelaki.

Penulis bukan seorang yang berhati ‘binatang’ tidak jatuh simpati terhadap nasib Sajat yang merintih kebingungan kerana kerja amal jariahnya tidak dipersetujui atau dipersoal ramai.

Sejujurnya, bekerja dalam lapangan hiburan, penulis acap kali bertemu dan menjalin kerjasama golongan sebegitu. Disiplin kerja mereka memang luar biasa.

“Adakah aku seorang kafir? Seorang yang tidak layak memeluk Islam dan berbuat baik dalam agamaku.

“Bila terjadi macam ini, aku rasa, aku makin jauh untuk mendekatkan diri dengan Allah. Ujian berat dan tindakan tidak wajar pada diri aku kerana aku bersedekah dengan memakai pakaian wanita,” antara tulisan Sajat dalam Instagram berhubung diskriminasi sosial hanya kerana dia seorang transgender yang ingin berbuat baik iaitu bersedekah.

Sebelum isu ini meletus, Sajat acap kali mencetuskan lahar kontroversi. Pernah sekali, dia menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah mengerjakan umrah berpakaian wanita.

Dalam kad pengenalan berjantina lelaki, pergi buat umrah berpakaian wanita. Kalau itu bukan mempersendakan agama Islam yang dianuti 1.8 bilion orang di dunia, penulis tidak tahu itu dikategorikan sebagai apa.

Seperkara lagi, kalau orang Malaysia bersikap kejam dengan Sajat hanya kerana dia seorang transgender, dia tidak akan jadi sekaya sekarang hasil jualan produk seperti bengkung atau emas yang diusahakannya.

Rezekinya tidak pernah disekat sehinggakan dia mampu beli banglo mewah dan memandu kereta berharga jutaan ringgit.

Benar, Malaysia bukanlah sebuah negara yang ‘mesra-LGBT’ tetapi setahu penulis, semua orang bebas untuk mengumpul rezeki di bumi bertuah ini. Cuma kalau anda sedikit berbeza daripada kebiasaan dan ingin ‘berkompang’ tentang atau gaya hidup anda, akan ada dampak yang perlu diambil kira.

Lagilah, kalau seseorang itu berstatus ‘orang terkenal’ yang mempunyai pengikut berjuta dalam Instagram misalnya.

Selain memanas dengan isu rintihan Sajat, dalam satu dimensi lain, keluarga Neelofa sekali lagi menjadi buah mulut orang ramai selepas tular sekeping gambar yang memaparkan pendaftaran logo atau cap dagangan (trademark) daging harimau menangis.

Difahamkan, ibu Neelofa, Noor Kartini berhasrat mempatenkan cap dagangan harimau menangis menerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Akhirnya, hasrat itu dibatalkan selepas berdepan kecaman orang ramai.

“Saya tiada niat untuk tutup pintu rezeki siapa-siapa dalam hal ini. Jadi saya ambil keputusan batalkan pendaftaran paten daging harimau menangis yang diusahakan ini.

“Niat saya cuma satu iaitu untuk melindungi ejen-ejen bawah kendalian saya supaya tidak terlibat dengan produk tiruan yang menggunakan bungkusan serta tulisan sama di pasaran,” katanya.

Tidak kira apa yang dikatakan, bak kata orang putih ‘the damage’s done’. Sekarang ini, sama ada orang akan terus beli daging harimau versi Kartini atau ramai yang bertindak memboikot. Bagi penulis, sedikit sebanyak, strategi pemasarannya tetap menjadi. Maklumlah, orang Malaysia memang pemurah dan pemaaf.

Pum pang pum pang hari ini, esok hari kita lupa. Ramai yang hanya menangis, yang untung tetaplah mereka yang pandai meraung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI