RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 berjaya mematahkan cubaan menyeludup anak pokok hiasan yang bernilai RM102,900 di pangkalan haram dekat Jeram Perdah di sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 7.30 malam itu, PGA turut menahan seorang wanita berusia 41 tahun dan merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai digunakan untuk kegiatan tersebut.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM142,900.
Menurutnya, sebelum tangkapan dijalankan, anggota PGA telah membuat intipan selama setengah jam di kawasan itu.
“Semasa melakukan intipan, anggota PGA telah melihat sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda telah memasuki kawasan pangkalan haram itu.
“Selang beberapa minit kemudian, kelihatan sebuah bot dari arah negara jiran menghala ke kawasan tebing sungai di pangkalan haram tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Nor Azizan, ketika itu, kelihatan sekumpulan lelaki sedang memunggah bungkusan plastik dan bertindak melarikan diri ke negara jiran menggunakan perahu apabila menyedari kehadiran anggota PGA.-K! ONLINE