MANCHESTER – Bekas penyerang Manchester United, Dimitar Berbatov percaya benteng pertahanan Liverpool bakal berdepan masalah menentang The Red Devils di Anfield awal pagi esok.
Menurutnya, kehadiran Edinson Cavani dalam kesebelasan utama bukanlah satu perkara yang menggembirakan Jurgen Klopp kerana pengalaman dan kemampuan pemain antarabangsa Uruguay itu.
“Saya fikir ia akan menjadi satu perlawanan yang sengit dan seimbang. Kedua-dua pasukan mempunyai jentera penggempur yang pantas seperti (Mohamed) Salah, (Sadio) Mane, (Marcus) Rashford dan (Anthony) Martial.
“Pada saya, United perlu menyenaraikan Cavani kerana pengalaman dan kepintarannya untuk ‘membuka’ kunci benteng Liverpool dan dia mampu menjadi senjata terbaik United.
“Selain itu, Paul Pogba juga, jika dia terus beraksi dengan prestasi semasa yang ditunjukkan, kesungguhan membantu pertahanan kemudian membuat serangan, teknik dan visi yang dimiliki, dia juga mampu menjadi ancaman besar buat Liverpool,” katanya.
Bagaimanapun, isu yang sering menghantui United adalah prestasi terumbang-ambing bahagian pertahanan mereka.
Statistik tiga perlawanan terakhir mungkin sedikit melegakan peminat apabila mereka sekadar melepaskan satu gol.
Bagi Berbatov, pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer tidak perlu memasang impian besar kerana seri sudah memadai.
“United tidak perlu menjadikan perlawanan ini sukar. Mereka perlu bermain secara mudah, dapatkan bola kemudian buat hantaran, satu atau dua sentuhan dan saya fikir United tidak ada masalah besar.
“Pendapat peribadi saya, apa yang penting adalah United tidak tewas. Dapatkan satu mata juga sudah baik kerana ia boleh memberi perbezaan besar. Anda mampu menjadi juara dengan satu mata,” jelasnya. – AGENSI