LONDON – Kerajaan Britain sedang menggubal undang-undang baharu bagi melindungi patung dan tugu di negara itu daripada dimusnahkan oleh individu atau kumpulan tidak bertanggunjawab, lapor saluran berita BBC News.
Setiausaha Perumahan, Komuniti dan Kerajaan Tempatan Britain, Robert Jenrick berkata, monumen yang berusia puluhan tahun itu perlu dipelihara dengan baik.
“Kita tinggal di sebuah negara yang perpegang dengan peraturan undang-undang, namun apabila menyentuh mengenai melindungi warisan negara, ia sering kali dipandang ringan.
“Sesuatu monumen yang telah wujud sejak beberapa generasi yang lalu perlu dilindungi dengan sebaiknya, bukan dialihkan atau dirosakkan sesuka hati,” katanya.
Selain itu, Jenrick berkata, terdapat usaha untuk memadamkan sebahagian peristiwa yang tercatat dalam sejarah negara itu melalui perbuatan tersebut.
“Perkara tersebut didapati dilakukan oleh sekumpulan orang awam yang merusuh atau ‘komiti budaya’ di suatu majlis perbandaran berhaluan kiri.
“Monumen bersejarah sepatutnya perlu dijelaskan dalam konteks yang betul, bukan disorok atau dimusnahkan,” ujarnya.
Sementara itu, rancangan penggubalan undang-undang itu dibuat berikutan perbuatan merobohkan patung pedagang hamba, Edward Colston tahun lalu dan beberapa perbincangan untuk mengalihkan monumen kontroversi.
Rang undang-undang tersebut akan dibentang di Parlimen Britain esok. – Agensi