BEIJING – Satu stok besar aiskrim di China telah dicemari koronavirus selepas tiga sampel makanan itu diuji menunjukkan positif virus berkenaan, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Menurut laporan, sampel berkenaan diambil dan dihantar ke Pusat Kawalan Penyakit China pada awal minggu ini.
Pihak berkuasa antiwabak di utara Perbandaran Tianjin sedang menjejak orang awam yang mungkin ada sentuhan langsung dengan pemanis mulut itu.
Difahamkan, aiskrim itu dihasilkan oleh Syarikat Makanan Tianjin Daqiaodao dan semua produk keluaran firma itu sudah ditarik balik dan diasingkan.
Menurut laporan SkyNews, siasatan awal mendapati syarikat berkenaan menghasilkan aiskrim menggunakan bahan import dari New Zealand dan serbuk wei dari Ukraine.
Sebanyak 2,747 kotak aiskrim yang dipercayai terkena jangkitan virus Covid-19 masuk ke pasaran dan 935 daripadanya dilaporkan diedarkan ke premis perniagaan di Tianjin.
Setakat ini, kira-kira 65 kotak aiskrim yang mungkin tercemar telah dibeli pelanggan.
Pihak berkuasa tempatan mengarahkan sesiapa yang mungkin membeli aiskrim tercemar untuk segera melaporkan keadaan kesihatan dan lokasi mereka berada.
Arahan sama dipanjangkan ke semua wilayah supaya dapat menjejak bekalan aiskrim tercemar itu di kawasan masing-masing.
Syarikat aiskrim itu kini mengikuti garis panduan keluaran Pusat Kawalan Penyakit Tianjin yang menasihati semua pekerja untuk menjalani proses kuarantin.
Seramai 1,662 pekerja kini memulakan proses kuarantin kendiri dan sudah menjalani ujian calitan asid nukleik pada Khamis lalu. – Agensi