fbpx

Projek kuari dipercayai musnahkan air terjun Tanjung Batu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk kampung Ridzuan Osman melihat kemusnahan Air Terjun Tanjung Batu akibat aktiviti kuari. Foto -ZULFACHRI ZULKIFLI.

LUMUT – Projek perkuarian yang diusahakan oleh salah satu agensi berkaitan kerajaan (GLC) dipercayai menjadi punca kepada kemusnahan khazanah alam Air Terjun Tanjung Batu, Segari di sini.

Timbalan Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Ismady Radzuan berkata, pihaknya menyedari mengenai kemusnahan air terjun tersebut Khamis lalu ketika sedang melakukan tinjauan untuk melakukan projek penanaman semula pokok di sekitar Segari.

“Saya terkejut apabila dari jauh melihat Bukit Segari yang terletak di dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) Segari Melintang ini sudah gondol. Saya terus memikirkan nasib air terjun yang berada di sana setelah melihat keadaan bukit yang telah ditarah itu.

“Hasil tinjauan, kami sangat terkejut apabila air terjun yang mempunyai tujuh tingkat sebelum ini sudah musnah. Sepatutnya di setiap tingkat tersebut ada lubuk atau kolam namun apabila serpihan kayu-kayu dari atas bukit telah jatuh menyebabkan batu-batu yang berada di setiap tingkat itu turut jatuh bersama,” katanya ketika ditemui pemberita ketika melakukan tinjauan di lokasi hari ini.

Tambah Ismady, pihaknya menganggarkan kira-kira 90 peratus kawasan air terjun berkenaan yang mempunyai ketinggian kira-kira 300 meter seluas hampir satu hektar telah musnah dipercayai berpunca daripada aktiviti pembersihan balak di bukit tersebut untuk tujuan perkuarian.

“Untuk makluman, kita semua telah membuat bantahan kepada kerajaan negeri pada 2017 untuk menghentikan semua permit baru aktiviti kuari di sini dan mendapat respon secara bertulis daripada mereka yang menyatakan telah bersetuju untuk menghentikannya.

“Bagaimanapun, kita lihat ada permit baru dikeluarkan pada Julai tahun lalu dan aktiviti pembersihan balak di atas bukit tersebut dipercayai menjadi punca kemusnahan air terjun ini,” katanya.

Katanya, sepatutnya pihak berkuasa atau pihak yang menguruskan projek kuari ini peka dengan khazanah alam semula jadi ini dan ia sering menjadi tumpuan bagi penduduk setempat dan pendaki Bukit Segari ini untuk beriadah serta mandi.

“Jika diikutkan, sekiranya air terjun ini mempunyai kelebaran 10 meter, ia bermaksud 10 meter di kiri dan kanannya merupakan rizab air terjun berkenaan namun kita lihat di sini ia tidak berlaku malah kolam takungan air terjun di bawah pun telah musnah sepenuhnya.

“Untuk memulihkan kembali seperti keadaan seperti asal, ia adalah suatu yang mustahil namun ia boleh pulih secara semula jadi tetapi mengambil masa yang lama,” katanya.

Menurutnya, dalam isu ini sebelum ini, pihaknya bersama Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan pertubuhan bukan kerajaan lain telah beberapa kali menggesa agar pihak berkuada mewartakan keseluruhan hutan simpanan tersebut sebagai hutan perlindungan terutamanya sebagai Hutan Taman Negeri di bawah Enakmen Perbadanan Taman Negeri atau Seksyen 10(1)(l), Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985.

“Kami amat tidak bersetuju aktiviti dan pengubahan guna tanah hutan dalam HSK seperti perlombongan, pengkuarian, ladang monokultur atau ladang hutan kecuali pengusahasilan (pembalakan) dibawah perolehan berkekalan yang menggunakan keadah Sistem Pengurusan Tebangan Memilih sahaja.

“Kegiatan perlombongan, pengkuarian, pertanian dan pengubahan guna tanah lain dalam HSK boleh menyebabkan fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas serta akan memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan yang menjadi teras dalam pengurusan hutan negara,” katanya.

Kelmarin, tular di media sosial beberapa keping gambar yang menunjukkan kemusnahan air terjun berkenaan dipercayai akibat aktiviti kuari yang dijalankan sebuah syarikat agensi berkaitan kerajaan (GLC) meliputi kawasan seluas 18 hektar.

Sementara itu, wakil GLC berkenaan yang turut hadir ke lokasi tersebut enggan mengulas lanjut berkaitan kemusnahan yang berlaku akibat aktiviti kuari yang dijalankan mereka. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI