PETALING JAYA – Polis telah menahan seramai 608 individu atas kesalahan ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut seramai 580 orang telah dikompaun manakala 27 direman dan satu dijamin.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (200), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (147), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (66) gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (46), premis beroperasi lebih masa (42), aktiviti pusat hiburan (11) dan lain-lain (96).
“Sebanyak 2,436 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 11,162 anggota telah membuat pemantauan di 3,639 pasar raya, 4,882 restoran serta 1,547 penjaja, 1,394 kilang, 3,128 bank dan 537 pejabat kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) tersebut turut memantau sebanyak 909 terminal pengangkutan darat, 283 terminal pengangkutan air serta 91 terminal pengangkutan udara.
“Kawalan sempadan Negara, Ops Benteng semalam juga turut berjaya menahan 17 orang pendatang asing tanpa izin dan dua tekong serta merampas tujuh buah kenderaan darat.
“Sebanyak 415 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan semalam melibatkan Ops Penawar (336 SJR), Ops Benteng PDRM (40 SJR), Ops Benteng Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) (Sembilan SJR),” jelasnya.
Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat 811 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan termasuk peruncit (617), pemborong (162) dan pengilang (32) semalam.
“Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.
“Pegawai penguatkuasa KPDNHEP juga telah melakukan 1,166 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP. Daripada jumlah itu, 1,161 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala lima premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP,” ujarnya. – K! ONLINE