fbpx

Ubah suai Perodua Kancil jadi food truck

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Halim menunjukkan Perodua Kancil yang telah diubah suai untuk menjalankan perniagaan menjual burger di Taman Sierra Perdana, Masai, Pasir Gudang, Johor.

JOHOR BAHRU – Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Itu yang dilakukan seorang bekas pekerja am syarikat perkapalan, Mohd. Halim Ratman, 45, yang berjaya mengubah suai sebuah kereta Perodua Kancil menjadi kendera saji atau food truck untuk menjalankan perniagaan menjual burger di Taman ­Sierra Perdana, Masai di sini.

Menurut Mohd. Halim, dia sebelum ini bekerja di salah sebuah syarikat perkapalan di Pasir Gudang, namun kehilangan kerja selepas majikannya terpaksa menghentikan operasi susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 sejak Mac lalu.

Menurutnya, situasi itu bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya untuk mencari rezeki sebaliknya menggunakan wang simpanan yang ada untuk memulakan bisnes menjual bur­ger dikenali MHR Burgers.

“Selepas kerajaan umum PKP pada Mac tahun lalu, syarikat tempat saya bekerja terpaksa tutup operasi, memang rasa tertekan sebab hilang kerja tapi hidup kena teruskan.

“Idea membuka gerai burger menggunakan kereta Kancil timbul apabila saya melihat sebuah rancangan di televisyen bagaimana seorang penjaja mengubah suai kereta untuk dijadikan gerai,” katanya ketika ditemui ­Kosmo! di sini baru-baru ini.

Tanpa melengahkan masa, Mohd. Halim terus membuka langkah untuk memulakan bisnes dengan membeli sebuah kereta Perodua Kancil terpakai dengan harga RM500.

Jelas bapa kepada tiga cahaya mata itu, dia mengubah suai kereta kompak itu kepada kendera saji hasil sentuhan sendiri dengan kos kira-kira RM4,000.

Berbekalkan pengalaman menjual burger sejak umur belasan tahun, Mohd. Halim bersama isterinya, Dayang Salbiah M. Arshad, 34, membuka kendera sajinya di Taman Sierra Perdana.

Katanya, antara menu yang menjadi signatur MHR Burgers adalah burger ayam rangup yang dijual pada harga RM5 sebiji.

“Selain itu kami sediakan pelbagai menu pilihan burger mengikut cita rasa pelanggan antaranya burger daging, ayam serta sosej,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI