fbpx

Tiga lelaki ditahan ketika leka menagih dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai penyiasat IPD Kota Kinabalu menunjukan bungkusan plastik berisi dadah jenis syabu yang dirampas daripada tiga lelaki dalam serbuan di sebuah pondok di Kampung Lok Buno semalam. Foto: IPD Kota Kinabalu

KOTA KINABALU – Tiga lelaki berusia antara 36 hingga 49 tahun ditahan ketika leka menagih dadah jenis syabu di sebuah pondok di Kampung Lok Buno semalam.

Dalam operasi sekitar pukul 10.20 pagi itu, semua penagih berkenaan ditahan bersama satu paket syabu seberat 0.10 gram yang diletakkan di atas lantai.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya melakukan soal siasat ke atas semua suspek sejurus ditahan untuk membantu siasatan.

“Hasil soal siasat membawa kepada penemuan dua lagi bungkusan syabu seberat 75.70 gram yang disembunyikan di dalam lipatan kanvas di pondok sama.

“Jumlah keseluruhan syabu yang dirampas adalah seberat 75.80 dan dianggarkan bernilai RM7,580 mengikut harga pasaran gelap. Siasatan turut mendapati semua suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan salah seorang daripadanya juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai penangkapan terbabit, Habibi menyatakan siasatan juga mendapati suspek mengaku terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan menjadi orang tengah kepada sindiket pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

“Suspek mengaku mendapat upah antara RM10 hingga RM100 berdasarkan keuntungan jualan syabu berkenaan.

“Dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952. Hasil ujian saringan urin ketiga-tiga suspek juga positif dadah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Habibi berkata, kes turut disiasat mengikut Seksyen 12 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) akta sama dan semua suspek ditahan reman bermula semalam untuk siasatan lanjut,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI