fbpx

Seorang maut, dua cedera kilang meletup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang maut manakala dua yang lain cedera selepas terlibat dalam satu letupan selepas melakukan kerja kimpalan di bahagian bumbung sebuah tangki yang menyimpan 'crude glycerin' di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang, hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang jurukimpal maut manakala dua rakannya cedera selepas terlibat dalam kejadian letupan di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 petang itu, mangsa yang maut ialah Wilson Anak Bangau, 45, manakala Bonsi Anak Buli, 42, cedera patah kaki serta Muhamad Syafiq Abdul Rahman, 23, mengalami kecederaan melecur.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Pauzan Ahmad berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 2.41 petang.

Jelasnya, sehubungan itu seramai 42 anggota beserta empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang dan Larkin dikejar ke lokasi kejadian.

“Letupan itu dipercayai berlaku ketika ketiga-tiga pekerja berkenaan sedang melakukan kerja kimpalan di bahagian bumbung sebuah tangki simpanan ‘crude glycerin’ dengan ketinggian kira-kira 15 meter.

“Akibat letupan itu, dua pekerja terjatuh menyebabkan seorang maut dan seorang lagi mengalami kecederaan patah kaki dan melecur manakala seorang lagi mangsa cedera akibat melecur di muka” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kilang berkenaan, di sini hari ini.

Pauzan turut memberitahu tangki simpanan berkenaan menyimpan sebanyak 800 tan crude glycerin.

Crude glycerin adalah bahan yang terhasil daripada proses biodiesel minyak kelapa sawit yang telah digunakan.

Tambah Pauzan, dua mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan manakala mangsa yang maut diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Punca kematian mangsa bagaimanapun masih dalam siasatan sama ada mangsa maut akibat letupan atau terjatuh daripada tempat tinggi.

“Letupan itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kebakaran terhadap kilang yang memproses produk kelapa sawit berkenaan,” ujarnya.

Jelas Pauzan lagi, anggaran kerugian masih dalam siasatan manakala operasi berkenaan ditamatkan pada pukul 4.26 petang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI