PETALING JAYA – Tindakan kira-kira 2,000 penduduk sekitar Putrajaya menyerbu Rumah Perlindungan Kucing, di sana bagi mendapatkan ayam percuma semalam mencetuskan kebimbangan dalam kalangan netizen.
Melalui foto yang dikongsi di laman Facebook Rizal Hakimm semalam, ribuan penduduk menyerbu pusat itu kira-kira pukul 4 petang bagi mendapatkan ayam percuma yang diberikan oleh Pemuda UMNO Putrajaya.
Kelihatan orang ramai menaiki motosikal dan kereta beratur panjang di bahu sepanjang jalan di kawasan tersebut untuk mendapatkan ayam percuma.
Susulan itu, keadaan jalan raya di kawasan tersebut sesak teruk sehingga ke jalan utama di Presint 9.
Rata-rata netizen bimbang dengan keadaan itu kerana ia mungkin akan mencetuskan kluster baharu wabak Covid-19 di Putrajaya.
Selain itu, netizen juga turut mengutuk tindakan orang ramai tersebut kerana tidak mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan kerajaan sebelum ini.
Pada masa sama, mereka turut mengecam tindakan penganjur kerana ketika ini Putrajaya diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersama enam negeri lain.-K! ONLINE