JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di negeri ini kekal seramai 93 mangsa daripada 23 keluarga yang masih ditempatkan di dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi pagi hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, hanya dua daerah masih terjejas akibat banjir iaitu Segamat dan Batu Pahat.
“Setakat pagi ini, hanya seramai 93 mangsa banjir masih ditempatkan di dua buah PPS yang masih dibuka.
“PPS tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bunut di Batu Pahat yang menempatkan seramai 17 orang dan Sekolah Agama Gemereh di Segamat yang menempatkan seramai 76 orang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, hanya terdapat satu laluan yang masih ditutup buat semua kenderaan iaitu Jalan Kota Tinggi-Kluang di Taman Seri Impian akibat kejadian tanah runtuh.
Keadaan banjir di Johor dijangka akan terus pulih apabila Jabatan Meteorologi Malaysia tidak meramalkan cuaca hujan lebat dan berterusan akan berlaku di negeri ini, hari ini. – K! ONLINE