TANJUNG MALIM – Lebih 4,000 kenderaan diperiksa menerusi empat sekatan jalan raya (SJR) di daerah Muallim sepanjang tiga hari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di negeri ini.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, dalam tempoh itu juga lebih 4,000 individu diperiksa dan antara mereka ada yang diarahkan untuk berpatah balik setelah dinasihatkan oleh pihak polis.
Katanya, empat lokasi SJR itu membabitkan Kilometer 126 Taman Universiti, Tanjung Malim; Jambatan Sungai Bernam, Behrang Stesen; Plaza Tol Behrang dan Slim River.
“Tujuan sekatan raya dijalankan adalah untuk mengawal pergerakan kenderaan masuk ke daerah tertentu tambahan lagi di Muallim ini kita bersempadan dengan Selangor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kira-kira 4,000 kenderaan telah diperiksa dalam SJR yang diadakan setakat ini dan ada yang diarahkan untuk berpatah balik setelah dinasihatkan pihak polis,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, sepanjang dua minggu PKPB dilaksanakan, lebih 100 pegawai dan anggota ditugaskan bagi menjalankan penugasan Op Covid-19 di daerah Muallim.
Katanya, daripada jumlah itu 80 anggota bertugas di empat SJR manakala 20 anggota lain akan melakukan rondaan termasuk di premis makanan, pasar raya dan tempat tumpuan ramai bagi memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPB.
“Pihak polis akan mengambil tindakan tegas dan tidak berkompromi ke atas mana-mana pihak yang gagal mematuhi SOP PKPB terutama berkaitan rentas negeri bermula hari ini.
“Bagi mereka yang perlu merentasi negeri, dinasihatkan untuk mendapatkan surat kelulusan terlebih dahulu. Sekiranya tiada alasan atau surat kebenaran, kompaun dikenakan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya.
Sementara itu, mengulas tindakan sepanjang tiga hari tempoh ‘kelonggaran’ yang berakhir semalam, beliau berkata, tiada kompaun dikeluarkan dan kadar pematuhan masyarakat terutama di sempadan negeri didapati pada tahap baik.