fbpx

K2

Lafaz talak selepas tidak tahan dipukul bini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SETELAH menduda hampir dua tahun, Daus (bukan nama sebenar) berasakan dia perlu mencari pasangan yang boleh menyerikan hidup dan menjaga makan minumnya.

Pada masa sama, dia juga mempunyai seorang anak yang memerlukan kasih sayang seorang ibu.

Daus menjadi duda setelah isterinya meninggal dunia selepas tiga bulan melahirkan anak mereka.

“Anak saya membesar tanpa kasih sayang seorang ibu. Saya berasakan perlu mencari pengganti isteri yang boleh menerima anak saya dan menyayanginya seperti zuriat sendiri.

“Hasrat ini dimaklumkan kepada rakan sekerja dan meminta mereka memperkenalkan dengan mana-mana wanita yang sanggup menerima saya dan anak saya,” jelasnya.

Tambahnya, hasil bantuan seorang rakannya, Daus mengenali seorang wanita bernama Suraya (bukan nama sebenar).

Suraya merupakan seorang janda dan memiliki seorang anak lelaki. Baginya, dia tidak kisah dengan status wanita itu kerana dia juga seorang duda.

Setelah berkenalan dan mengenali hati budi, masing-masing boleh menerima antara satu sama lain.

Jelas Daus, sepanjang perkenalan, dia melihat wanita itu melayan anaknya seperti anak sendiri.

“Dia begitu menyayangi anak saya. Itu yang membuatkan saya mengambil keputusan untuk memperisterikannya.

“Setelah tiga bulan berkenalan kami mengambil keputusan untuk berkahwin,” katanya.

Pada peringkat awal perkahwinan semuanya baik belaka, namun selepas tiga bulan, isterinya baru menunjuk ‘belang’ sebenar.

Kata Daus, isterinya suka memaki hamun dirinya apabila ada perkara yang dia tidak berpuas hati atau berkenan.

“Dari segi tanggungjawab sebagai seorang isteri, dia laksanakan dengan baik.

“Tetapi sikapnya yang suka memaki hamun itu membuatkan saya kurang senang dan kadangkala makan hati dengan kata-katanya itu,” bicaranya.

Selain itu, sepanjang tiga bulan perkahwinan, Daus mendapati isterinya itu seorang yang suka mengarah dan menganggap dirinya sahaja yang betul.

Kadangkala mereka akan bergaduh kerana perkara yang remeh.

Lebih teruk, ketika bergaduh isterinya gemar menggunakan kekerasan sama ada menampar atau menumbuknya.

Pada mulanya, Daus berasakan itu perkara biasa tetapi lama kelamaan, apabila mereka bergaduh isterinya masih melakukan perkara sama.

Isterinya mempunyai saiz badan agak besar berbanding dirinya, maka tidak hairanlah dia suka membuli dan bertindak kasar terhadap suami.

“Saya bukanlah jenis yang suka memukul perempuan. Dari kecil saya dididik untuk menghormati perempuan dan tidak akan berkasar dengan mereka,” jelasnya.

Tambahnya, apa yang boleh dia simpulkan isterinya mempunyai sikap panas baran dan dia akan mula memukul apabila tidak dapat mengawal perasaan amarahnya.

Ada satu ketika, Daus dipukul dengan menggunakan batang penyapu apabila dia tidak dapat mengikut keinginan isterinya itu.

Setelah mereka berdamai, isterinya langsung tidak meminta maaf kepadanya dan menganggap tidak ada apa yang berlaku.

Atas sebab itu, Daus mula berasa tawar hati dengan peri laku isterinya itu.

Sementara itu, Daus ada menceritakan tentang perilaku isterinya itu kepada ayah mertuanya.

“Setelah saya menceritakan tentang hal itu kepada ayah mertua saya, dia hanya mampu menggelengkan kepala.

“Ayah mertua saya menyatakan dia sendiri tidak mengerti dengan perangai anaknya itu. Penceraian anaknya itu dengan suaminya sebelum ini juga disebabkan hal yang sama,” jelasnya.

Daus menjelaskan, dia ada berbincang dengan isterinya mengenai hal itu dan dan memintanya untuk berubah.

“Tetapi saya juga yang dipersalahkan. Dia menjelaskan dia akan bertindak sedemikian jika ada perkara yang dia tidak berpuas hati dengan saya,” katanya.

Akhirnya, kesabaran Daus sampai ke kemuncaknya apabila ketika mereka bergaduh dia telah menjatuhkan talak buat isterinya itu.

Dia telah berfikir panjang bahawa lebih baik mereka berpisah sahaja daripada terus bersama tetapi bergaduh sehingga menyakitkan fizikal pasangan.

Mereka berdua akhirnya sah bercerai di sebuah mahkamah syariah di utara tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI