fbpx

Jangan jadi golongan zalimi diri sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
SITI KAMILAH MUSTAPHA, PENOLONG PENGARANG BERITA KOSMO!

Minggu ini selain kegemparan negara mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di enam negeri dan pengumuman Darurat turut terselit berita tentang usahawan kontroversi, Nur Sajat.

Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman mendedahkan dia berdepan gangguan emosi dan depresi kerana mengubah ciptaan Allah daripada lelaki kepada rupa paras wanita.

Tulis Sajat di laman sosialnya, “Wahai Muhammad Sajjad Kamaruzzaman. Walaupun kau tu ID lelaki tetapi anggota badan wanita, kau tetap lelaki, lelaki berdasarkan ID tetapi cara hidup kau semua wanita.

Sajat merasakan dirinya dianiayai dan dilayan tidak adil oleh masyarakat walaupun telah berbuat baik termasuk membayar zakat setiap bulan, bersedekah dan menunjukkan rasa sayang terhadap Allah.

Kisah kontroversi usahawan ini telah berlarutan sejak pentadbiran kerajaan terdahulu lagi dan ia seperti angin lalu tanpa sebarang tindakan berkaitan isu dia berpakaian wanita ketika berada di Tanah Suci ketika itu.

Penulis tidak berapa arif mengulas isu Sajat dengan perbuatannya menyerupai wanita walhal hakikatnya identiti sebenarnya seorang lelaki.

Terbaharu, Sajat dikatakan mengalami depresi kerana didakwa dilayan secara tidak adil termasuk kerja amalnya tidak dipersetujui oleh ramai pihak.

Sama ada amal ibadatnya, solat, puasa atau sedekahnya selama ini diterima Tuhan, sungguh penulis takut hendak komen.

Namun, penulis teringat tentang ceramah agama oleh Ustaz Ahmad Dasuki di YouTube mengenai alam barzakh baru-baru ini.

Dalam ceramah itu beliau menyebut ramai golongan yang akan diambil nyawa oleh malaikat dalam keadaan menzalimi diri sendiri.

“Golongan itu tidak buat jahat, tidak mengkhianati orang lain, malah tidak melakukan perkara yang dilarang oleh Allah,” jelas Ustaz Dasuki.

Mendengar mengenai golongan yang menzalimi diri sendiri itu membuatkan penulis berfikir bahawa ramai antara kita tidak membawa ‘bekalan secukupnya’ itu untuk bertemu Allah nanti.

Kita berasakan sudah berbuat sehabis baik ketika hidup sedangkan kita melakukan perkara yang salah dan tidak diterima Allah.

Lagi sedih, sepanjang hidup kita di dunia kita tidak mengejar pahala yang sebenarnya sebaliknya hanya mengejar kekayaan dunia.

Semoga penulis, pembaca dan Sajat sendiri mendapat hidayah dan melakukan perkara yang sebetulnya untuk bekalan menghadap Allah dan dijauhkan mati dalam keadaan tidak berbuat apa-apa. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI