fbpx

In-yeop jadi kelakar selepas berlakon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HWANG IN-YEOP

KEGILAAN terhadap ‘hero kedua’ atau watak pembantu sama ada protagonis atau antagonis bukan lagi perkara baharu dalam industri hiburan Korea Selatan. Jika tidak, masakan frasa hero kedua kini cukup popular bahkan menjadi sindrom baharu dalam dunia hiburan K-pop.

Dalam kalangan peminat setia karya dari negara kimci tersebut, ramai sering meluahkan rasa terseksa melihat hero kedua pujaan mereka sentiasa berdepan masalah terutama bersama heroin.

Takdir buat hero kedua juga tidak mengizinkan penyatuannya bersama heroin.

Penderitaan tersebut dapat dirasai peminat menerusi naskhah Reply 1988 menerusi watak Sung Duk-seon lakonan Hyeri dan Kim Jung-hwan (Ryu Jun-yeol).

Pasangan itu meremukkan hati ramai peminat apabila pada pengakhiran cerita, watak Duk-seon berkahwin dengan Choi Teak (Park Bo-gum).

Begitu juga menerusi drama Start-Up yang ditayangkan tahun lalu apabila watak Han Ji-pyeong (Kim Seon-ho) lebih mendapat perhatian peminat saat bergandingan dengan Dal-mi (Suzy Bae) berbanding hero utamanya, Nam Do-san (Nam Joo-hyuk).

Kini sekali lagi jiwa penonton terseksa lagi apabila menyaksikan aktor yang sedang meningkat naik, Hwang In-yeop menjayakan watak Han Seo-jun menerusi drama True Beauty.

Bersiaran menerusi saluran tvN, naskhah tersebut memperlihatkan watak Seo-jun berada di kedudukan kedua dalam carta cinta hati Lim Joo-kyung (Moon Ga-young) kerana lebih tertarik kepada Lee Su-ho (Cha Eun-woo).

Situasi tersebut membuatkan In-yeop yang memulakan kerjaya lakonan pada 2018 menerusi karya web drama bertajuk Why itu bercambah dalam hati peminat.

Pada masa sama, pembabitannya dalam dunia lakonan sedikit terlewat memandangkan jejaka kelahiran Seoul itu bakal menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-30 pada 19 Januari ini.

DISEBABKAN memiliki bentuk mata dan renungan yang tajam, In-yeop sering membawakan watak sebagai ‘budak jahat’ ditambah pula raut wajahnya awet muda meskipun sudah berusia 30 tahun.

Dunia sendiri

Usia bagaimanapun tidak membataskan In-yeop untuk merealisasikan impiannya menjadi pelakon, memandangkan dia terlebih dahulu mencipta nama di pentas peragaan.

Sebenarnya agak lama dia menyimpan hasrat untuk menceburi bidang lakonan, tetapi dek kurang keyakinan diri, In-yeop mematikan sahaja impiannya itu sehinggalah dia menjalani latihan ketenteraan.

“Sebelum menceburi bidang lakonan, pelbagai persoalan dan keraguan muncul dalam fikiran saya. Saya ragu-ragu sama ada kerjaya lakonan berbaloi atau tidak. Adakah saya berkemampuan menjadikan lakonan sebagai satu kerjaya yang berjaya.

“Bagaimanapun setelah berfikir panjang, saya cekalkan hati dan berusaha mengejar cita-cita untuk terlibat dalam lakonan,” katanya.

Secara peribadi, In-yeop tidak pernah meluahkan keinginan bergelar pelakon kerana sifatnya yang agak perahsia.

Boleh dikatakan, dia seperti hidup dalam dunia sendiri sebelum bersedia keluar daripada kepompong selesa sekali gus mencabarkan diri merealisasikan impiannya selama ini.

“Kerjaya sebagai model bukan sesuatu yang mudah kerana secara peribadi saya memiliki sikap kurang bergaul dan selesa menyendiri. Sikap itu berubah secara perlahan-lahan kerana saya memilih untuk bergaul dengan orang lain.

KERJAYA sebagai pelakon telah mengubah sikap In-yeop menjadi seorang individu yang gemar berjenaka dan bergaul dengan orang sekeliling berbanding sikap lamanya dia lebih selesa menyendiri.

Kepuasan lakonan

“Setelah menceburi kerjaya lakonan, saya seperti lebih mengenali diri. Saya berpeluang untuk meneroka karakter berbeza sekali gus mencuba perkara baharu yang sebelum ini tidak pernah terfikir untuk dilakukan,” jelas pelakon yang memiliki ketinggian 185 sentimeter (cm) itu.

Melanjutkan cerita mengenai kerjaya lakonan, In-yeop berkongsi pengalaman penglibatannya dalam naskhah True Beauty. Dalam drama tersebut, dia membawakan watak remaja nakal dan bersifat dingin bernama Seo-jun.

Biarpun gemar terlibat dalam masalah, Seo-jun sebenarnya memiliki sifat penyayang dan sangat mengasihi adik serta ibunya.

Kata In-yeop, perkara pertama terlintas apabila menceritakan tentang watak tersebut, dia teringatkan babak menunggang motosikal.

Disebabkan tuntutan watak juga, In-yeop sanggup mengambil lesen menunggang motosikal.

Menariknya juga, In-yeop mengakui tidak pernah mempunyai pengalaman menunggang motosikal sehinggalah ditawarkan watak tersebut.

Pada masa sama, dia turut mendapat latihan khusus bagi melakonkan babak aksi agar nampak realistik dan tidak canggung di hadapan kamera.

Dia gigih berusaha demi memberikan kepuasan kepada penonton.

“Tidak dinafikan semua itu agak meletihkan dan membuatkan saya tidak cukup tidur. Namun segalanya berbaloi apabila saya dapat memberikan yang terbaik dan berpuas hati dengan hasil lakonan.

“Secara peribadi saya sanggup melakukan apa sahaja untuk watak Han Seo-jun kerana karakter ini sangat bermakna buat saya.

“Paling utama ialah kepuasan penonton,” ujarnya optimis.

DISEBABKAN memiliki bentuk mata dan renungan yang tajam, In-yeop sering membawakan watak sebagai ‘budak jahat’ ditambah pula raut wajahnya awet muda meskipun sudah berusia 30 tahun.

 

Impian masa depan

Pelakon yang dikatakan mirip aktor senior Lee Joon-gi itu turut bersungguh-sungguh berkongsi tentang harapan dan keinginannya dalam kerjaya lakonan.

In-yeop juga mempunyai impian menyandang gelaran aktor serba boleh di samping meraih kepercayaan penonton dalam menterjemahkan setiap watak dengan sebaik mungkin.

Sebagai aktor, sudah pastinya perkara itu memberikan kepuasan tatkala watak yang dilakonkan dapat meninggalkan kesan kepada penonton sama ada karakter antagonis mahupun protagonis.

Kelebihan tersebut bukan sahaja penting bagi memastikan kelestarian kerjaya tetapi menjadi tanda aras kepada tahap profesional dan kualiti seseorang anak seni.

“Saya ingin menjadi inspirasi kepada penonton termasuk meraih kepercayaan mereka apabila melakonkan sesebuah watak.

“Sebelum ini, apabila muncul naskhah baharu melibatkan pelakon yang hebat, saya akan berusaha untuk menonton lakonannya tidak mengira apa jua cara.

“Justeru apabila bergelar pelakon, saya ingin mempunyai peminat yang mempunyai perasaan sebegitu. Apabila mengetahui saya membawa sesuatu karakter yang mencabar, mereka akan menontonnya.

“Bukan mudah untuk meyakinkan mereka tetapi itulah cabarannya.

“Apabila saya sudah sampai ke tahap itu, tiada apa lagi yang diharapkan kelak,” tuturnya panjang lebar.

Tidak dinafikan kerjaya lakonannya masih hijau tetapi khalayak menaruh keyakinan tinggi terhadap kemampuan In-yeop apatah lagi dirinya kini sedang menjadi kegilaan peminat.

Terbaharu dia dikhabarkan membintangi naskhah adaptasi komik digital atau webtoon berjudul Annarasumanara yang akan bersiaran menerusi platform penstriman, Netflix.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI