JEMPOL – Gara-gara sebuah kenderaan mengelak seekor anjing yang berada di atas jalan seorang wanita maut dalam nahas di kilometer 19, Jalan Bahau-Kemayan, dekat sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.11 pagi itu, mangsa, Nor Asmah Ja’afar, 55, beralamat di Felda Lui Selatan 2, Bandar Seri Jempol disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian susulan mengalami kecederaan parah di kepala.
Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook, nahas berkenaan membabitkan dua buah kenderaan iaitu kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang wanita berusia 30 tahun dan kereta jenis Proton Wira yang dipandu mangsa.
“Berdasarkan siasatan awal, pemandu Toyata Vios dari arah Air Hitam menghala ke Kemayan, sebaik sampai di tempat kejadian, tiba-tiba terdapat seekor anjing berada di atas laluan tersebut.
“Pemandu Toyota Vios telah mengelak dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung secara berhadapan dengan kereta Proton Wira tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, tadi.
Chang Hook berkata, akibat daripada pertembungan tersebut, pemandu Toyata Vios mengalami kecederaan di bahagian perut manakala Nor Asmah mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian
Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Jempol untuk tujuan bedah siasat.
“Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalanraya (APJ) 1987. – K! ONLINE