PALING menjadi perhatian netizen sepanjang minggu ialah isu cap dagangan produk Harimau Menangis oleh keluarga Neelofa. Disebabkan isu tersebut, nama Che Nom menjadi tular begitu juga perkataan cap dagangan tiba-tiba jadi terkenal dalam kalangan pengguna media sosial.
Video comel
Mak saya cerewet – Aaisyah
Siapa yang tidak kenal anak perempuan Rozita Che Wan, Aaisyah Dhia Rana?
Gelagat manja dan keletahnya yang bersahaja sering mencuit hati sesiapa sahaja.
Terbaharu, Aaisyah mencuit perhatian rakyat Malaysia selepas sebuah rakaman video yang memaparkan dia sedang dileteri ibunya yang terkenal dengan panggilan Che Ta tular dalam media sosial.
Dalam video berkenaan, Che Ta menegur warna bibir Aaisyah yang merah selepas menggunakan gincu.
“Bibir dah merah menyala mommy tengok,” soal Che Ta.
Namun, perkara itu dibalas Aaisyah: “Itu aplikasi mommy.”
Malah, reaksi Aaisyah selepas Che Ta meminta anak bongsunya itu mengemas semua barangan alat solek ke dalam beg turut menggelikan hati.
Dengan reaksi bersahaja, Aaisyah mengatakan ibunya seorang yang cerewet.
“Uii, mak kita cerewet!,” ujar Aaisyah dengan nada mencebik.
Aksi pelik
Makan ais di pasar raya
BARU-BARU ini seorang pengguna TikTok @kakaazman memuat naik rakaman video perangai rakan-rakannya mengambil ais dalam peti sejuk pasar raya. Tindakan tersebut dikecam rata-rata netizen kerana menganggapnya sebagai jijik dan pengotor.
Setakat ini, video itu ditonton lebih 500,000 pengguna TikTok dan mendapat 21,000 tanda suka.
Isu lokal
Che Nom kesayangan ramai
Gara-gara tular isu cap dagangan Harimau Menangis, selebriti masakan yang terkenal dalam YouTube, Che Nom pula yang menjadi perhatian.
Che Nom yang terkenal menerusi perkongsian pelbagai jenis resipi masakan menarik perhatian ramai menerusi satu ciapan dalam Twitternya.
Dalam ciapan tersebut, Che Nom atau nama sebenarnya Norma Bakar membenarkan mana-mana pihak menggunakan namanya untuk sebarang bisnes.
“Siapa hendak guna resipi Che Nom buat meniaga, silakan. Tidak perlu minta izin atau halal pun, tiada trademark (cap dagangan), sama-sama kita cari rezeki.
“Kalau guna resepi Che Nom, nak gambar buat niaga untuk pelekat atau poster ambil saja dalam laman web saya,” tulisnya dalam ciapan tersebut.
Dek ciapannya itu, nama Che Nom trending dalam Twitter pada Rabu lalu malah, ramai yang memuji sifat mulianya.
Twitter sohor kini
Tak cukup cantik, tutorial solekan jadi medan buli
Minggu lalu kecoh dalam tentang seorang wanita yang dikenali sebagai Nurul Janatul Sobah Rajaai atau Sobah menjadi mangsa buli siber ketika membuat video siaran langsung tutorial solekan dalam akaun TikToknya.
Sepanjang membuat siaran langsung, Sobah menerima banyak kata-kata negatif termasuk kecaman serta hinaan tentang rupa parasnya.
Lebih teruk, ada yang menyamakan gadis berusia 21 tahun itu dengan binatang dan sampah.
“Ini bukan solekan untuk bertunang tetapi solekan sampah,” tulis seorang warganet secara biadap.
Menariknya, isu yang tular dalam media sosial tersebut turut mendapat perhatian beberapa selebriti terkenal tanah air seperti Yuna, Que Haidar dan Janna Nick.
Yuna memberi nasihat agar Sobah ketepikan semua perkara negatif yang dilemparkan kepadanya.
“Jangan hiraukan semuanya, gadis ini hanya lakukan perkara yang dia suka!,” tulis Yuna yang mengulang siar ciapan tentang Sobah.
Rata-rata netizen menyifatkan sikap sesetengah individu yang menghina rupa paras Sobah sebagai tidak berperikemanusiaan dan tiada hati perut.
Kisah semasa
Nikah panik PKP 2.0
Selepas Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Isnin lalu, ramai pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga runsing kerana majlis terpaksa ditunda.
Situasi tersebut turut dirasai pasangan muda yang dikenali sebagai Syed Muzammer dan Diyana Dhaniah.
Mereka yang sepatutnya bernikah pada bulan Februari nanti mengambil keputusan mengejut dengan memilih untuk mempercepatkan majlis tersebut di sebuah masjid sehari sebelum PKP 2.0 dilaksanakan.
Momen manis berkenaan dikongsi sendiri oleh Diyana Dhaniah menerusi satu ciapan dalam Twitter.
“Sepatutnya nikah bulan Februari tetapi risau PKP 2.0 ini lebih daripada dua minggu. Itu yang minta kahwin cepat,” ciapnya.
Rata-rata netizen menyifatkan rakyat negara ini bukan sahaja merasai panik membeli barangan tetapi juga panik kahwin!.