fbpx

WHO bincang varian baharu Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail pada 22 Januari lalu menunjukkan Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus (kiri) mendengar penerangan Didier Houssin pada satu sidang akhbar di Geneva. – AFP

GENEVA – Jawatankuasa kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengadakan satu pertemuan iaitu dua minggu lebih awal daripada dijadualkan bagi membincangkan mengenai varian baharu koronavirus yang dikesan di Afrika Selatan dan Britain.

Varian baharu Covid-19 itu dilaporkan sudah menular ke sekurang-kurangnya 50 buah negara dan menimbulkan kebimbangan orang ramai.

Varian Covid-19 baharu itu didapati lebih mudah menjangkiti orang berbanding virus yang muncul di China pada 2019, mendorong banyak negara menguat kuasa perintah berkurung selepas merekodkan kenaikan kes secara mendadak.

Jawatankuasa itu secara ke­biasaannya berkumpul setiap tiga bulan sekali tetapi WHO menyatakan ketua pengarahnya mempercepatkan mesyuarat itu ‘bagi mempertimbangkan isu-isu yang timbul yang memerlukan perbincangan segera’.

“Ini adalah varian-varian terbaharu dan (perlu) pertimbangan berhubung penggunaan vaksin serta kelulusan ujian untuk perjalanan antarabangsa,” kata badan dunia itu kelmarin.

Terdapat kebimbangan bahawa mutasi baharu virus Covid-19 boleh menyebabkan vaksin menjadi kurang berkesan, menjejaskan harapan tawaran pemvaksinan untuk merawat pandemik global.

Jawatankuasa berkenaan dianggotai kumpulan pakar itu diketuai oleh Prof. Didier Houssin dari Perancis dan setiap keputusan yang disyorkan akan diterbitkan selepas mesyuarat.

Mesyuarat itu akan diadakan pada ketika jangkitan global koronavirus melepasi paras 91 juta kes dengan jumlah kematian menghampiri dua juta orang.

Banyak kerajaan di serata dunia telah melaksanakan perintah berkurung yang menjejaskan ekonomi dan sekatan sosial.

Varian virus yang baru ditemui itu hanya boleh dikenal pasti melalui penjujukan atau turutan kod genetiknya, satu analisis yang sukar dilakukan di setiap tempat.

Satu mutasi ketiga virus, ber­asal dari Amazon di Brazil, telah dikesan dan diumumkan oleh Jepun pada Ahad lalu. Virus itu sedang dianalisis dan mungkin boleh memberi impak ke atas res­pons imun, kata WHO. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI