MADRID – Pelumba Sepanyol, Alex Rins mengakui pengunduran Davide Brivio sebagai ketua pasukan Suzuki sangat mengejutkan, namun Rins yakin struktur pasukannya itu tidak terjejas.
Pengaruh Davide Brivio dalam saingan MotoGP tidak boleh dipertikaikan kerana sentuhan nya telah menghadiahkan Suzuki gelaran dunia pertama pada saingan perlumbaan musim lalu.
Rins percaya sifat kekeluargaan yang ada dalam pasukan Suzuki Ecstar menjadi kunci kejayaan pasukan itu dan yakin pasukan itu tidak perlu terburu-buru membawa masuk individu yang boleh merosakkan struktur pasukan tersebut.
“Saya fikir untuk musim 2021 ini Suzuki tidak perlu melakukan perubahan baharu yang mampu merosakkan struktur pasukan itu sendiri. Apa yang telah dijalankan sehingga kini antara yang terbaik.
“Sudah tentu Suzuki akan mencari pemimpin baharu untuk masa depan. Bagi saya, Suzuki perlu lebih tenang kerana jika tidak anda akan melakukan kesilapan besar,” kata Rins.
Dalam pada itu, Rins mengakui tidak percaya dengan tindakan Brivio meninggalkan pasukan itu dan fikir ia adalah satu gurauan.
“Sebelum ini dia (Brivio) menghubungi saya sehari sebelum pengumuman tersebut dilakukan. Pada awalnya saya fikir ia adalah satu gurauan.
“Kami mempunyai hubungan yang sangat baik. Saya sangat berterima kasih kepadanya atas usaha yang dilakukan untuk saya dan pasukan ini. Dia adalah individu yang memberikan saya peluang untuk beraksi dalam saingan MotoGP pada 2017,” ujar Rins. – Agensi