Abu Dhabi – Bintang tenis dunia, Aryna Sabalenka memulakan aksi musim 2021 dengan langkah kanan apabila muncul juara di Terbuka Abu Dhabi awal pagi semalam sekali gus merupakan gelaran ketiga berturut-turut dimenanginya.
Pemain ranking No.10 dunia dari Belarus itu sebelum ini muncul juara dengan meraih kemenangan di Terbuka Ostrava, Terbuka Linz dan seterusnya di Abu Dhabi selepas berjaya mengalahkan Veronika Kudermetova dengan kemenangan straight-set 6-2, 6-2.
Ia merupakan persiapan terbaik buat atlet berusia 22 tahun itu untuk menghadapi kejohanan Grand Slam Terbuka Australia bulan depan.
“Misi saya adalah untuk meraih kemenangan dan tidak sangka saya mampu melakukannya hingga meraih gelaran ketiga. Permulaan baik bagi musim 2021 dan juga Terbuka Australia nanti.
“Saya gembira mampu muncul juara dan tampil cemerlang sepanjang perlawanan berlangsung,” katanya.
Sabalenka mempunyai hampir tiga minggu sebelum memulakan aksi Terbuka Australia yang bermula 8 Februari dan dia dijangka diletakkan sebagai pemain pilihan utama dalam perlawanan tersebut.
“Sudah pasti saya akan ke Australia dengan penuh keyakinan sebab sudah melakukan segala-galanya untuk memenangi perlawanan. Kini saya telah meraih 15 kemenangan berturut-turut dan saya yakin mampu melakukannya sekali lagi di Australia nanti,” katanya. – Agensi